KUALA LUMPUR - Wakil rakyat yang bertindak keluar parti dan menjadi anggota bebas biasanya tidak bertahan lama, kata penganalisis politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling.

Beliau berkata, apabila mereka mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas selepas keluar daripada parti-parti tertentu, secara tidak langsung sokongan rakyat terhadap mereka akan berkurangan.

"Apabila wakil rakyat menang atas tiket parti (tertentu) semasa PRU13, kedudukan mereka lebih kukuh kerana disokong oleh anggota-anggota parti dan sumber dana yang dikeluarkan untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat di sesebuah tempat adalah daripada parti.

"Namun, kepercayaan rakyat terhadap mereka akan menurun apabila wakil rakyat mereka bertindak keluar parti kerana pendirian berubah-ubah selain sumber kewangan mereka yang terhad dalam membantu menyelesaikan masalah-masalah penduduk," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Adun Luyang di Sabah, Hiew King Cheu yang mengumumkan keluar daripada DAP dan kekal menjadi wakil rakyat bebas.

King Cheu, yang meletak jawatan sebagai penasihat kepada jawatankuasa perhubungan negeri Sabah DAP beberapa minggu lepas, berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana parti lain.
"Biasanya seseorang wakil rakyat parti bebas mampu bertahan sepenggal sahaja, jika mereka ingin bertanding pada pilihan raya umum akan datang maka peluang untuk memenangi kembali kerusi itu adalah tipis kerana sokongan yang terhad.

"Lagipun, penduduk setempat juga akan melihat dari segi kedudukan kewangannya yang terhad kerana tiada sokongan parti untuk membantu mereka," kata Zainal.

Bersetuju dengan pandangan di atas, Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Tang Ah Chai berkata, sokongan rakyat terhadap seseorang wakil rakyat bebas sama ada dalam peringkat Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (Dun) bergantung kepada prestasinya sepanjang tempoh mereka berkhidmat di kawasan mereka.

"Tidak dapat dinafikan mereka tidak bertahan lama sehingga PRU depan, namun jika mereka menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang perkhidmatan mereka sebagai anggota Parlimen atau Dun, ini mungkin boleh mengubah nasib mereka sekiranya mereka berhasrat untuk bertanding di kawasan yang sama pada pilihan raya umum akan datang," kata Ah Chai. - Bernama