KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 diperlukan di Malaysia bagi keselamatan awam dan pencegahan jenayah.
  
Beliau berkata 'undang-undang ketat' itu akan membantu mencegah kes seperti kejadian tembakan yang kerap berlaku selepas Ordinan Darurat dimansuhkan.
  
"Saya fikir negara buat masa ini memerlukan undang-undang ketat sedemikian.
  
"Sebaik sahaja kita mansuhkan undang-undang, anda lihat apa yang terjadi kerana orang belum betul-betul maju dan berpendidikan untuk menghargai undang-undang," katanya selepas menyampaikan tawaran biasiswa kepada penerima Yayasan Jeffrey Cheah di Universiti Sunway dekat sini hari ini.
  
Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu. - Bernama