HALAMAN SANTAI
Sabtu, 28 September 2013
Kaji balik hubungan Pakatan Rakyat kerja kurang bijak, kata Mat Sabu
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan tindakan untuk mengkaji balik hubungan dengan parti dalam Pakatan Rakyat sebagai satu tindakan 'kurang bijak'.
"Bagi saya bercerai dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat sekarang satu perkara yang tidak baik. Istana yang kita bina sejak sekian lama, tiba-tiba kita nak runtuhkan begitu saja. Ini tindakan paling kurang bijak," katanya.
Mohamad berkata demikian dalam wawancara khas dengan The Malaysian Insider baru-baru ini.
Beliau mengulas cadangan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib yang mencadangkan PAS mengkaji semula tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan parti dalam Pakatan khasnya dengan PKR.
Cadangan Haron itu kemudiannya dijadikan resolusi dalam Multaqa Ulama Se-Malaysia yang diadakan di Alor Setar baru-baru ini.
Mohamad berkata, PAS sudah bekerja sejak sekian lama untuk mendapatkan undi orang bukan Islam khasnya Cina dan India di negara ini.
Ini kerana, katanya, PAS memerlukan undi mereka bagi membolehkan PAS menang dalam pilihan raya kerana ia berdasarkan undi popular.
"Kita sakit kepala setiap kali pilihan raya untuk menang kerana ia berdasarkan undi popular atau undi orang ramai.
"Jadi, kita akan tolak kawasan pilihan raya yang mempunyai peratusan orang bukan Melayu lebih 20 peratus kerana tahu tidak akan menang," katanya bercerita mengenai bagaimana PAS berjuang untuk mendapatkan undi mereka sebelum ini.
Katanya, sejak 2008, suasana itu sudah berubah iaitu orang Cina dan India sudah tidak takut menyokong PAS hasil kerjasama PAS dengan parti dalam Pakatan Rakyat dan pendekatan lain yang dibuat oleh PAS.
"Bagi saya ini satu rahmat. Kita sudah exhausted (keletihan) untuk mendapatkan sokongan mereka sebelum ini. Tiba-tiba kita dapat," katanya.
Beliau berkata, pelbagai usaha cuba dibuat oleh MCA dan Umno sendiri untuk menjauhkan semula orang Cina dan India dari PAS tetapi tidak berjaya selepas 2008.
"Masa pilihan raya 1999 lalu, MCA letakkan serban di atas kepala Karpal Singh dan Lim Kit Siang, mereka kalah di Pulau Pinang.
"Tetapi menjelang pilihan raya umum ke 13 baru-baru ini, MCA kempen menggunakan Hudud, kononnya sokong DAP bermakna sokong PAS bermakna sokong hudud, tetapi orang Cina tetap tolak mereka.
"Bagi saya ini satu perubahan minda yang sangat mahal, ini satu anugerah Allah," katanya.
Bagaimanapun, katanya, beliau mengaku, sokongan Melayu berkurangan dalam pilihan raya umum lalu tetapi itu bukan kerana kerjasama dengan Pakatan Rakyat.
"Kita diperangkap isu perkauman oleh BN. Kalau Pakatan menang, DAP akan perintah, Cina akan kuasai negara ini yang dimainkan oleh BTN (Biro Tata negara), Jabatan Penerangan, media BN dan sebagainya.
"Itu yang kita kena perbetulkan.
"Menjadi tugas PAS tiga hingga empat tahun ini untuk memberikan tumpuan kepada orang Melayu bagi memberikan keyakinan kepada mereka bahawa mereka tidak akan terjejas bahkan akan terlebih baik di bawah Pakatan Rakyat," katanya.
Mohamad berkata, Tun Dr Mahathir sendiri mengakui bahawa BN ini bukan hebat tetapi menang kerana berjaya memerangkap rakyat dengan isu ini.
Oleh itu, katanya, ulama dan bukan ulama kena bekerja keras ke arah itu bukannya bercerai dengan parti dalam Pakatan.
Katanya, negeri yang paling berpotensi dalam pilihan raya umum ke-14 nanti ialah Johor.
"Selama ini Johor adalah kubu BN. Umno sangat nervous sekarang apabila Cina dan India tidak takut lagi kepada PAS.
"Usaha yang dibuat pakar strategi mereka sekarang adalah bagaimana nak buat supaya Cina dan India takut kepada PAS semula.
"Kenapa kita pula hendak masuk perangkap Umno," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan