HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 September 2013

BETUL KE? Pindaan PCA turut dapat sokongan pembangkang - Zahid

MALAYSIA  CHRONICLE



PUTRAJAYA - Pindaan yang dilakukan dalam Akta Pencegahan Jenayah (PCA) bagi membanteras dan mencegah jenayah dengan lebih berkesan turut mendapat maklum balas baik daripada pemimpin pembangkang, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau meminta semua pihak melihat pindaan itu secara positif kerana mengutamakan keselamatan serta keamanan rakyat dengan memerangi jenayah yang kini masalah besar kepada rakyat dan negara.

"Terima kasih kepada NGO yang memberi pendapat positif, terima kasih juga kepada rakan dalam parti pembangkang yang mula memahami bahawa pindaan PCA ini menjaga keselamatan rakyat keseluruhannya," katanya ketika berucap pada Forum Pencegahan Jenayah bertema 'Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Anda' di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata masih terdapat segelintir pihak tidak memahami keperluan dan kepentingan pindaan itu serta menganggapnya sebagai menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang dimansuh pada 2011.

"Walaupun beberapa pihak telah menyatakan ketidaksenangan hati mereka terhadap pindaan PCA ini, tetapi saya telah jelaskan bahawa ia bukan satu rang undang-undang yang menggantikan ISA. Ia adalah suatu rang undang-undang yang dipinda bagi mencegah jenayah semata-mata," katanya.

Beliau berkata pindaan itu juga menghadkan kuasa dan penyalahguaan kuasa menteri, sebaliknya memberi kuasa kepada lembaga yang terdiri daripada tiga anggota Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang dilantik Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa pindaan PCA juga membolehkan polis melaksanakan tugas membanteras dan mencegah jenayah dengan lebih berkesan berikutan pemansuhan Ordinan Darurat (EO) dan Akta Kediaman Terhad (RRA) 1933.

Pada sidang media selepas itu, beliau turut memberi jaminan PCA tidak akan digunakan terhadap ahli politik atau pihak yang berbeza pendapat.

"Kekhuatiran pihak Majlis Peguam, NGO serta parti pembangkang ialah pihak kerajaan menggunakan PCA ini untuk melakukan tahanan terhadap ahli politik.

"Kerajaan memberi jaminan PCA ini ditujukan seratus peratus hanya kepada penjenayah sahaja. Ia tidak harus dimanupulasi kononnya untuk menyekat, menahan dan memenjara pihak yang berbeza pendapat dengan kerajaan. Ia adalah untuk mencegah jenayah," katanya.

Pindaan Rang Undang-Undang PCA akan dibahas di Dewan Rakyat Isnin ini.

Mengulas laporan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi, yang menerima beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur ugutan daripada individu tidak dikenali Isnin lepas, Ahmad Zahid berkata penjenayah takut dengan tindakan tegas polis.

"IGP pun ada terima. Mereka takut pada penguatkuasaan. Saya mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Negara dan semua Ketua Polis negeri, terutama Pulau Pinang, kerana menjalankan tugas dengan sepenuh hati dan keikhlasan sehingga mereka yang terlibat dalam pembanterasan jenayah terasa.

"Ugutan tidak memberi sebarang makna kepada pegawai-pegawai ini kerana apa yang dilakukan oleh mereka adalah untuk kepentingan rakyat keseluruhannya," katanya.

Forum empat itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi. - Bernama

Tiada ulasan: