Sekadar gambar hiasan.
SUBANG JAYA – Mereka yang membuang puntung rokok di tempat awam bakal dikenakan kompaun sebanyak RM10 oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), bermula Oktober ini.
Kompaun RM10 itu juga membabitkan kesalahan membuang apa juga jenis sampah di tempat awam termasuk sisa gula-gula getah.
Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata, tindakan dikuatkuasakan di bawah Undang-Undang Kecil Pembuangan, Pengutipan dan Pelupusan Sampah (MPSJ) 2007.
Menurutnya kawasan SS15 dijadikan lokasi perintis untuk tindakan penguatkuasaan dilaksanakan 1 Oktober ini.
Seramai 52 anggota trafik MPSJ termasuk yang berpakaian preman akan membuat pemantauan dan mengenakan tindakan serta merta kepada mereka yang melakukan kesalahan.
Pesalah boleh membuat pembayaran secara terus kepada penguatkuasa tersebut dengan kadar kompaun sebanyak RM10 untuk setiap kesalahan dilakukan.
Kadar kompaun akan meningkat kepada RM1,000 sekiranya pesalah gagal membuat pembayaran serta merta atau dalam tempoh yang ditetapkan.
Kegagalan membuat penyelesaian kompaun juga boleh menyebabkan pesalah dihadapkan ke mahkamah, pesalah boleh dikenakan hukuman denda maksimum tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.
“Ia sebagai pengajaran supaya orang awam menjaga kebersihan, majlis akan laksanakan kempen perintis ini selama sebulan untuk melihat keberkesanannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat MPSJ, di sini, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan