HALAMAN SANTAI
Ahad, 29 September 2013
Mat Taib: Jadi MB, naib presiden Umno pada usia muda
Semasa sedang enak menikmati ikan bakar di salah sebuah warung di Kuala Lumpur, bekas naib presiden Umno yang pernah menggemparkan negara suatu masa dahulu menghubungi dan minta hadir ke rumahnya di Shah Alam setelah beberapa temu janji yang dirancang tidak berjaya.
Rumah orang kenamaan itu seperti yang sering digambarkan televisyen adalah rumah banglo atas bukit tersergam indah dengan barisan kereta mewah dan ada beberapa pembantu rumah.
Di laman rumahnya, ada dua buruh binaan yang sedang melakukan kerja pengubahsuaian.
Setelah memberi salam, kelibat personaliti minggu ini, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menyapa dengan penuh mesra dan menjemput masuk ke singgahsananya.
Beliau sedang melayan dua tetamu yang terlebih dahulu datang bertandang dan butiran perbualan mereka banyak berkisar tentang politik.
Sementara menunggu giliran menemu bual bekas veteran Umno itu, peluang yang ada digunakan bagi melihat keindahan segenap penjuru rumah.
Anak perempuannya memiliki enam ekor kucing yang sangat comel dan ditunjukkan kepada kami.
Setelah kira-kira 10 minit menunggu, orang yang ditunggu pun bersedia untuk ditemubual mengenakan kurta putih dan berkain pelekat.
Melihat garis muka di wajahnya, teringat pesanan awal beliau yang tidak mahu jurugambar hadir pada sesi temu ramah hari ini.
Logo kerajaan yang tertera pada cawan minuman kami, jelas membayangkan pengalamannya berkhidmat bersama kerajaan ‘minoriti’ hari ini.
Tanpa banyak membuang masa, soalan pertama terus diajukan untuk mengetahui apakah aktiviti sehariannya setelah tidak lagi bergiat aktif dalam arena politik.
"Saya ke surau setiap hari bagi mendalami isi kandungan al-Quran kerana sebagai umat Islam sepatutnya menjadi budaya sedari kecil hingga ke liang lahat. Ini satu proses berterusan.
"Kita perlu mendidik masyarakat kepada perkara benar dan mendidik anak bangsa kerana ini yang diterapkan oleh Nabi Muhammad dalam ajaran agama kepada seluruh umat manusia,” katanya dalam nada tenang memulakan perbualan.
Beliau yang juga dikenali sebagai Mat Taib menceritakan sejarah bagaimana beliau mula berkecimpung dalam arena politik.
"Ibu dan ayah saya aktif dalam pergerakan Umno. Bapa saya pernah menjadi Ketua Cawangan dan Ibu saya juga pernah menjadi Ketua Wanita Cawangan. Boleh dikatakan sejak kecil lagi saya bergelumang dengan dunia politik.
"Namun dalam 10 orang adik-beradik, hanya saya anak ketiga dari kalangan mereka yang menceburkan diri dalam arena politik. Saya mempunyai tujuh adik-beradik lelaki dan tiga perempuan.
"Ada di kalangan ahli keluarga saya menjadi seorang doktor, saintis, pegawai bank, jurutera elektrik dan pensyarah. Ayah saya dahulu cenderung menghantar adik perempuan saya ke kolej Islam dan lelaki diterapkan dalam bidang akademik dan profesional,” katanya.
Bekas Menteri Besar Selangor itu dikurniakan 11 cahaya mata dan cucu seramai tujuh orang.
“Anak perempuan saya yang bongsu kini bersekolah menengah di tingkatan dua,” katanya yang teragak-agak memberitahu umur anak bongsunya itu.
The Malaysian Insider pastinya tidak mahu melepaskan peluang mendalami dasar pemikiran pemimpin veteran ini yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara amnya dan negeri Selangor khususnya.
Nada pertuturan beliau mula bersemangat apabila tabir kisah politik dibuka ibarat deruman motosikal berkuasa tinggi menuju ke sempadan.
Muhammad yang seakan sudah sinonim dengan perjuangan parti simbolik Melayu itu melihat Umno perlu mendidik dan membuka akal fikiran dengan menyampaikan situasi sebenar negara.
Katanya, pemimpin Umno perlu segera mengelak membesar-besarkan isu remeh dan parti itu perlu menjadi ketua serta payung kepada semua kaum kerana sejak akhir-akhir ini parti itu dilihat cuba memainkan sentimen perkauman.
"Sentimen itu pula terang bertentangan dengan ajaran Islam. Nabi Muhammad sendiri semasa menjadi pemerintah di Madinah berlaku adil kepada orang Islam dan bukan Islam. Jika menyampaikan bantuan semua pihak dapat.
"Nabi sebelum wafatnya berpesan jangan meninggalkan solat dan lindungi orang yang lemah di antara kamu. Ini yang sepatutnya diamalkan Umno bukan berterusan menjaga kepentingan sesuatu kaum sahaja.
"Mereka mengaku beragama Islam tetapi adakah mereka mengikut ajaran Islam? Kita harus membantu kaum di Malaysia mengikut nisbah mereka tanpa ada muslihat tertentu,” katanya yang faham asam garam perjuangan parti Melayu itu.
Pemimpin yang baru sahaja menyertai PAS sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) itu menegaskan sudah tiba masanya kerajaan menilai semula bantuan yang diberikan kepada kaum Bumiputera.
Katanya, selepas peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, banyak pihak yang boleh menerima program khas untuk Bumiputera seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mahu mencapai sasaran penguasaan ekonomi Bumiputera sebanyak 30 peratus tetapi perkara itu semua telah berlalu.
"Program ini tidak berjaya. Salah siapa? Sekarang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mahu wujudkan pula program pemerkasaan ekonomi Bumiputera dan saya berpendapat ia tidak sesuai. Kerajaan perlu adil menjaga kebajikan semua kaum.
"Kaum bukan Bumiputera datang ke sini bukan salah kita. Penjajah dan peniaga asing yang membawa mereka ke sini. Sekarang bukan lagi masa kerajaan memberi bantuan sepenuhnya kepada orang Melayu tetapi pembangunan minda dan semangat juang mereka perlu ditingkatkan.
"Permaisuri Victoria di Britain suatu masa dahulu mencerdaskan orang Barat dengan ilmu dan geran penyelidikan maka lahirlah pencipta kapal terbang, kereta dan telefon semasa zaman Revolusi Industri,” katanya yang mahu kerajaan mengambil iktibar kegagalan DEB.
Beliau berkata, pemimpin Jepun pada masa itu turut tidak mahu ketinggalan dengan menggunakan pendekatan sama sehinggakan Jepun menjadi bangsa berilmu dan ahli perniagaan ternama.
Menurutnya, Malaysia harus mengambil pendekatan tersebut dengan menyediakan banyak peluang kepada rakyat selain pendekatan kerajaan kini yang gemar menggunakan jalan mudah menghulurkan wang untuk mendapat sokongan serta menggunakan pendekatan perkauman bagi menentang kaum lain dalam negara ini.
Muhammad yang menyertai Umno pada 1964 menyifatkan mereka yang menyertai Umno pada masa kini hanyalah untuk mendapat kontrak, menjadi kaya dan menjaga kepentingan diri sendiri.
Beliau berkata, ahli Umno kini tidak lagi berjuang untuk bangsa dan tugas hakiki mereka pula diserahkan kepada agensi kerajaan.
"Umno mesti jadi ketua pembangunan. Apa program tingkatkan mutu orang Melayu? Pemimpin yang dilanda masalah juga mahu bertanding. Saya lihat Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi layak dipilih menjadi naib presiden Umno.
"Saya lihat Senator Datuk Maznah Mazlan boleh memimpin sayap Wanita Umno. Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil nak buat apa lagi?," katanya yang menyenaraikan calon pilihannya dalam pemilihan Umno kelak.
Selain itu, beliau berpendapat PR sudah memenangi PRU13 dan sepatutnya menubuhkan kerajaan.
Katanya, rakyat jelas menolak BN dengan bukti undi popular mereka hanya 47 peratus dan BN membentuk kerajaan minoriti.
“Sistem nisbah kerusi dengan jumlah penduduk Malaysia yang tidak seimbang menyumbang kemenangan BN.
"Saya tiada bukti mendakwa penipuan dalam PRU13 tetapi biasanya kerajaan pemerintah mahu mengekalkan kuasa dengan apa cara sekali pun,” katanya dalam nada tenang yang sekali sekala mengusik mahu perhatian pada lontaran ideanya.
Mengabaikan kelibat jurugambar yang gemar mendapatkan aksi terbaik, beliau sempat mengulas entiti akhbar milik Umno, Utusan Malaysia yang dilihatnya tidak adil dalam laporan.
Beliau berkata, sudah tiba masanya masyarakat perlu dididik dan akhbar tidak seharusnya menjadi berat sebelah dengan menyiarkan ulasan pihak menyokong sahaja kerana sesuatu isu perlu dibahas dengan meluas.
"Utusan wajar mencontohi media asing yang lebih bersifat nenyeluruh. Selain itu, rakyat juga perlu bijak menilai dan jangan terus percaya kepada tulisan mereka tanpa usul periksa.
"Jika kaum Melayu masih terus dihidangkan dengan bahan bacaan di peringkat jumud, bagaimana kita mahu menjadi masyarakat antarabangsa, hebat dan mampu mengupas sesuatu isu yang lebih besar?
"Kerajaan sepatutnya memberi kebebasan akhbar untuk mengupas sesuatu isu dengan lebih luas dan mendalam sebagaimana yang diamalkan di Indonesia. Akhbar mereka bebas membuat liputan dengan memberi keadilan kepada kedua-dua pihak,” nadanya kambali tegas dengan sekali-sekala mengetuk meja melontarkan idea.
Muhammad juga nyata bersetuju supaya lebih ramai orang muda menerajui Umno supaya lebih banyak idea segar dan baru mampu dijana.
“Tiada salahnya. Saya jadi Naib Presiden lebih muda daripada Mukhriz. Saya dalam lingkungan awal 40-an dah jadi MB Selangor dan Naib Presiden Umno. Mukhriz sekarang 49 tahun. Beliau ada ketokohan, berwawasan dan mempunyai profil cemerlang. Saya lihat dia salah seorang yang boleh dibawa ke depan,” katanya.
Katanya, Umno perlu segera keluar daripada ideologi membentuk pasukan tertentu yang kononnya juga bertujuan memastikan strategi kempen kemenangan mereka berjaya.
“Saya fikir tidak bagus diwujudkan pasukan kerana akan melemahkan perjuangan. Pilih siapa yang layak. Pengundi yang baik akan dipilih berdasarkan prestasi.
“Prestasi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam sayap Pemuda Umno berada dalam keadaan terbaik. Saya lihat dia boleh bertahan dengan segala ujian yang diberikan kepadanya. Khairy seorang pemimpin yang boleh pergi jauh dan boleh disokong.
“Kepimpinan beliau sesuai dengan zamannya. Jika dahulu pendekatan pendesak mungkin berkesan kerana suara akar umbi tidak didengari. Tetapi Khairy seorang menteri, apa nak desak lagi? Lakukan apa yang dirancang,” katanya yang menafikan keperluan kumpulan pendesak dalam sayap Pemuda Umno.
Dengan segala yang dilaluinya, beliau kini sudah berasa pahit manis dan jatuh bangun dalam kerajaan dan Umno.
“Saya terima hukum dan apa yang ditakdirkan kepada saya. Jika setakat ini perjalanan saya, cukuplah. Saya akan terus menyumbang dan memberi teguran baik kepada pihak PAS mahu pun Umno,” katanya yang ingin bergegas mengakhiri wawancara untuk segera menunaikan solat Zohor.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan