HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 September 2013

Realiti duka pembangunan Sarawak

Mohd Aizan Mohd Nor,

SAYA baru pulang dari Bintulu seminggu lepas. Ia sememangnya suatu pengalaman yang mengimbau kenangan lama bertugas di sini selama hampir sedekad. Jika dibandingkan dengan zaman terdahulu sememangnya ‘gas town of Sarawak’ yang masyhur ini telah jauh berubah. Saya yakin SCORE adalah penyebabnya.

Saya singgah sebentar di sebuah kedai kopi di sini untuk meluangkan masa berbual-bual dengan sahabat lama saya. Kami berbual panjang daripada peluang bisnes sehinggalah harga udang di sini. Kesimpulannya, Bintulu semakin maju dan membangun. Saya sedikit cemburu saya ditakdirkan bertugas di sini sekitar awal 2000-an dan bukan sekarang.

Namun, fikiran saya sedikit terganggu. Bagaimana pula dengan bahagian-bahagian lain di Sarawak? Adakah ini fenomena di bandar-bandar semata atau bagaimana?

Kunjungan ke kampung-kampung dan rumah-rumah panjang sekitar sedikit-sebanyak menjawab persoalan saya tadi. Ada jalan-jalan yang sudah ditar dan beberapa buah kampung dan rumah panjang sudah menerima bekalan elektrik. Namun, masih ramai yang bersungut tiada bekalan air bersih dan masih menggunakan air hujan untuk keperluan harian. Tidak kurang juga yang mengeluh klinik kesihatan terlalu jauh. Nampaknya perubahan di daerah ini tidak sepantas yang disangka.

MENGEJUTKAN!


Jika diteliti daripada perangkaan terkini Jabatan Perangkaan Negara dalam Laporan Penyiasatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2012, hanya 57.4% daripada penduduk luar bandar Sarawak menerima bekalan air paip di rumah-rumah mereka. Mengejutkan! Padahal purata luar bandar Malaysia adalah sekitar 81.8%.

Dari segi bekalan elektrik pula, 1.7% daripada penduduk luar bandar di Sarawak masih belum menikmati bekalan elektrik walhal purata luar bandar Malaysia hanyalah 0.7% iaitu mendekati elektrifikasi penuh!

Kemudian jika ditinjau dari sudut kemudahan kesihatan, lebih setengah iaitu 51.0% penduduk luar bandar Sarawak tinggal lebih 9 km daripada pusat-pusat kesihatan awam. Ini adalah angka paling tinggi di Malaysia. Suatu keadaan yang mungkin terlalu asing untuk kita di seberang sini.

Malahan, trend yang sama juga dapat dilihat dari aspek kemudahan sekolah rendah dan menengah di luar bandar Sarawak di mana 12.6% pelajar sekolah rendah dan 62.9% pelajar sekolah menengah tinggal lebih 9 km daripada kediaman masing-masing. Purata luar bandar Malaysia hanyalah 3.6% untuk sekolah rendah dan 20.5% untuk sekolah menengah!

KADAR PERTUMBUHAN TINGGI


Tidaklah dapat dinafikan bahawa Sarawak telah membangun dengan pesat selama 50 tahun bersama Malaysia. Negeri ini mempunyai kadar pertumbuhan antara yang tertinggi di Malaysia dan tahun lepas telah menyumbang 8% kepada pertumbuhan keluaran negara kasar Malaysia.

Sarawak adalah penyumbang terbesar hanya di belakang Selangor, Pulau Pinang dan Johor! Namun, apa yang merunsingkan saya ialah bagaimana dalam jangkamasa yang sama, penduduk Malaysia di seberang sini menikmati kualiti hidup yang jauh berbeza dengan rakan-rakan di Malaysia Timur?

Ya, memang benar ‘Sarawak Harmoni’ tetapi adakah benar ‘Kemakmuran Dinikmati’ jika inilah realiti sebenar yang perlu diredahi rakyat Sarawak khususnya di luar bandar sejak sekian lama?

Mungkin ada yang akan menjelaskan bahawa angka-angka ini  perlu dinisbahkan kepada keluasan Bumi Kenyalang itu sendiri dan keadaan geografinya yang mencabar, namun persoalannya, kenapa ketidakseimbangan pembangunan itu terlalu ketara seolah-olah kita berada di negara yang lain? Mungkin inilah sebabnya ada sesetengah rakyat Sarawak yang mempunyai sentimen negatif terhadap ‘orang Malaya’. Malahan, jangan terkejut jika anda terbaca komentar-komentar daripada rakan-rakan Sarawak yang mahukan Sarawak meninggalkan Malaysia.

Integrasi nasional bukanlah semata-mata menyanyikan lagu kebangsaan yang sama atau menggunakan kurikulum nasional yang serupa, tetapi yang juga sama penting ialah peluang pembangunan yang saksama tanpa mengira batasan geografi.

Saya yakin pemerintah di persekutuan mempunyai niat yang ikhlas untuk Sarawak. Namun, niat yang baik tidak memadai jika realiti hidup serba kekurangan ini perlu dihadapi oleh penduduk luar bandar Sarawak saban tahun.  Saya belum bercerita tentang isu-isu lain. Pemerintah di persekutuan perlu insaf hakikat ini. Keadilan pembangunan di Sarawak harus ditegakkan!


Mohd Aizan Mohd Nor ialah Pengarah, Sarawak Centre

Tiada ulasan: