[VIDEO] PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak percaya banyak masalah hari ini boleh diselesaikan jika masyarakat mengamalkan konsep kesederhanaan.

Amalan itu berasaskan kepada prinsip keadilan, memilih untuk berdialog daripada konfrontasi, berunding daripada berkonflik.

“Jika kita memilih pendekatan kesederhanaan dan menolak nazisme atau militan dan pemikiran ekstremis, kita berpeluang menjadikan dunia ini aman,” katanya dalam syarahan The New Meetings, Moderation: The New Modernity (Pertemuan Baru, Kesederhanaan: Kemodenan Baru) ketika Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Konsep kesederhanaan itu dicetuskan menerusi Gerakan Kesederhanaan Global (GMM-Global Movement of Moderates) yang turut digunakan sebagai agenda bagi mendapatkan peluang kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan PBB penggal 2015-2016.

Bekas Wakil Tetap Malaysia ke PBB di New York, Tan Sri Razali Ismail berkata, konsep GMM yang diperkenalkan mampu meleraikan konflik di Timur Tengah demi menegakkan perjuangan Islam dan masyarakat Muslim.

“Kita ke Majlis Keselamatan adalah kerana tanggungjawab antarabangsa. GMM ialah salah satu aspek. Konsep itu kita pernah gunakan dahulu dan boleh mempengaruhi negara lain. Contohnya, cara Malaysia selesaikan konflik di Thailand dan beberapa negara lain di Asia Pasifik.

"Cara berbincang secara lembut belum pernah digunakan mana-mana negara lain tetapi Malaysia berjaya gunakan cara itu untuk mengelakkan konflik dengan negara lain,” katanya.

Bagi mengupas keupayaan Malaysia dalam tangani konflik di Palestin, Mesir, Syria dan Myanmar serta usaha mendapatkan kerusi tidak tetap di Majlis Keselamatan PBB, ikuti wawancara eksekutif bersama Ketua Meja Global, Liza Hasan; wartawan, Norutul Ilham;  jurufoto, Azmi Ariyanto dan jurukamera, Md Nidzam Osman.

Wawancara ini juga boleh dilayari menerusi Sinar TV di www.sinarharian.com.my/sinar-tv.

Bolehkah Malaysia tawar diri selesaikan konflik di Palestin?

Malaysia tidak boleh tawarkan resolusi tetapi Malaysia boleh bantu untuk mempengaruhi kedua-dua negara itu untuk capai resolusi.

Malaysia mesti bercakap mengenai hak sempadan bebas Palestin-Israel. Mendesak Israel supaya bebas daripada ancaman bom, pengganas dan hak-hak keselamatan penduduk Palestin. Ini antara cara yang boleh dikemukakan dalam usul berkenaan kerana ia terlalu kuat untuk dipengaruhi.

Mengapa Hamas tidak dijemput ketika rundingan Israel-Palestin?

PBB mewakili kerajaan. Hamas bukan kerajaan nasional. Kerajaan sebenar Palestin adalah Fatah pimpinan Mahmoud Abbas. Jika kamu sokong Hamas, kamu tidak boleh membiarkan Hamas mewakili Palestin.

Tapi suara Hamas boleh didengar melalui Majlis Keselamatan PBB.

Cuma saya tidak faham, kenapa perlu ada dua kumpulan (pemerintah) di Palestin.

Saya tidak faham kenapa perlu bergaduh, kenapa tidak bersatu kerana perpecahan kumpulan ini hanya melemahkan usaha penaklukan Palestin.

Bolehkah Malaysia tawarkan diri untuk selesaikan isu di Mesir?

Konflik di Mesir tidak boleh diselesaikan dengan campur tangan kuasa luar.

Malaysia tidak boleh selesaikan konflik di Mesir. Malaysia hanya boleh tawarkan jaminan keselamatan kepada rakyat Malaysia di sana supaya mereka boleh sambung belajar dan jaminan keselamatan perniagaan.

Kita boleh beri contoh pengalaman kita kepada Mesir supaya mereka boleh berdamai. Tetapi, perkara itu amat mustahil.

Oleh itu, kita hanya boleh sokong sekiranya ada permintaan untuk kesepakatan rundingan. Sekiranya mereka boleh berunding, di situ Malaysia boleh tawarkan bantuan konstruktif.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah disebut-sebut sebagai individu yang layak jadi perantara tetapi beliau menolak. Jadi siapakah yang layak untuk jadi perantara?

Kita tidak boleh mengenal pasti siapa individu sesuai kerana ini adalah perang saudara. Kita tidak boleh tuduh siapa salah dan siapa betul.

Jika kita fikir (Presiden Mesir) Mohammed Mursi perlu digulingkan oleh tentera, saya sebagai yang percaya pada demokrasi, merasakan tindakan itu salah kerana tiada alasan kukuh.

Saya rasa ia hanya angan-angan kosong untuk Malaysia bantu selesaikan masalah ini.

Termasuk untuk mengembalikan Mursi?

Jika mereka rasa membawa kembali Mursi satu tindakan betul, sudah pasti mereka lakukan.

Hakikatnya, mereka tidak akan membawa semula Mursi kerana Ikwanul Muslimin sangat kuat, mungkin mereka ingin membentuk pentadbiran Mesir kepada negara Islamik.

Nasihat saya kepada Malaysia, kita boleh ‘beremosi’ tentang perkara ini kerana mereka Muslim tetapi tangguhkan dahulu hasrat sekiranya mahu membantu.

Kita boleh bagi bantuan kemanusiaan, lebih dari itu Malaysia tidak boleh.

Bagaimana pula krisis penggunaan senjata kimia di Syria?

Saya percaya PBB ambil tindakan bersama dalam kes ini kerana seriusnya penggunaan senjata kimia hingga membunuh ramai rakyat Syria.

Penggunaannya diharamkan. Sesiapa menggunakannya harus dihukum. Saya tidak bermaksud AS perlu mengebom Assad (Presiden Syria, Bashar Al-Assad) tetapi yang patut selesaikan masalah ini PBB.

Rusia dan AS perlu duduk semeja selesaikan masalah ini. Tiada mana-mana pihak atau negara boleh mewakili PBB kerana perkara itu akan memburukkan lagi keadaan.

Malaysia perlu melihat perkara ini lebih matang bukan terlalu emosi dan perlu sentiasa berwaspada terhadap AS.

Kita perlu halang AS mengambil tindakan sendiri. Kita perlu halang AS atau mana-mana negara cuba menggunakan PBB. Tetapi jika bukti menunjukkan sesuatu perkara telah berlaku dan ada pihak perlu dihukum keran menggunakan senjata kimia maka mereka perlu dihukum.

Adakah Tan Sri fikir Bashar patut berundur?

Ya, selepas saya lihat ribuan terbunuh. Ini soal perang saudara, tiada apa boleh kita bantu.

Sampai bila perang saudara ini akan berterusan?

Perang saudara ini boleh berlanjutan sehingga bertahun-tahun seperti Perang Saudara Sepanyol yang berlanjutan lebih 4 tahun. Kita tidak mahu Syria jadi seperti itu. Kita harap dapat selesai dengan cara berdamai.

Tetapi mengapa masih ada sokongan tertentu antara kerajaan rejim dan kumpulan Pembebasan Syria (FSA)?

Pada permulaannya rakyat berdemonstrasi mendesak Assad berundur, tapi Assad tidak mahu. Saya tidak menyokong mana-mana pihak.

Saya sokong hak rakyat Syria. Saya sokong pendamaian. Jika tidak, negara itu akan terus musnah.

Adakah Tan Sri setuju menggelar Bashar sebagai diktator?

Ya, kerana beliau tidak mahu dengar suara rakyat. Rakyat mendesak supaya berundur tetapi beliau enggan.

Mungkinkan Bashar hanya boneka dalam pentadbiran?

Itu bukan alasan. Semua ini berkaitan dengan soal kuasa. Situasi ini sama seperti di Libya ketika era bekas Presiden Muammar Gadafi. Selepas beliau meninggal dunia pentadbiran negara itu jadi semakin rumit.

Saya rasa bangga kerana semua krisis ini tidak wujud di Malaysia. Jadi sesiapa menyokong Arab Springs adalah ‘bodoh’ kerana tidak tahu implikasi Arab Springs.

Bagaimana cara untuk membela etnik Rohingya khususnya Muslim di Myanmar?

Kita akui sebagai orang Muslim kita dapat rasakan kepayahan mereka.

Apa yang penting kita perlu pastikan etnik Rohingya diiktiraf hak kewarganegaraan Myanmar.

Kemudian secara perlahan, kerajaan perlu terima keputusan itu. Mereka perlu dilindungi dari menjadi mangsa pihak yang mahukan mereka keluar dari Myanmar.

Kita perlu pastikan kerajaan Myanmar dan Aung San Suu Kyi lakukan perkara ini.

Masih bolehkah Myanmar  mencari penyatuan etnik?

Mereka kini bernaung di bawah satu bumbung kerajaan. Saya belum melihat penyatuan etnik dicapai. Walaupun mereka sedang cuba tetapi masih samar.

Kita perlu tekan kerajaan Myanmar untuk laksanakan perdamaian iaitu perdamaian negara secara keseluruhan.

Adakah Suu Kyi gagal tangani masalah etnik sedangkan beliau adalah ikon keamanan dunia?

Suu Kyi bukan orang yang ada kuasa.

Beliau hanya ketua pembangkang. Dia tidak mempunyai kuasa mengubah kerajaan. Saya tidak menyebelahi beliau tetapi saya tahu ramai masyarakat berharap beliau dapat lakukan lebih untuk membantu.

Untuk mengatakan dia gagal, itu tidak benar.

Bagaimana dengan masa depan Myanmar?

Saya nampak Myanmar mampu lakukan yang terbaik kerana mereka mempunyai kepakaran dengan populasi 70 juta dan peluang sangat cerah jika dibandingkan dengan negara jiran lain.

Rakyat Myanmar mahukan perubahan dan berjaya. Mereka mahu merasai pendidikan dan mendapatkan perubatan terbaik.

Saya tidak dapat lihat ada kepincangan sepanjang usaha mereka. Mereka kini sedang berusaha keras supaya tentera tidak kembali memerintah.

Adakah Tan Sri berpuas hati sepanjang menjadi diplomat?

Ia merupakan pengalaman saya 15 tahun lalu. Saya bangga kerana ada beberapa perkara yang saya lakukan diperakui. Malaysia gembira dengan apa yang telah saya lakukan.

Ketika Tan Sri menjadi Presiden PBB, adakah mana-mana pihak menentang pendirian Tan Sri?

Ya, ketika saya merancang menambah kerusi tetap Majlis Keselamatan. Itali dan Pakistan negara yang sangat menentang rancangan itu.

Mereka berusaha gigih menggagalkan rancangan itu.

Apakah kegagalan itu satu cabaran?

Atas sebab tertentu usaha itu gagal dan itu cabaran paling kuat. Tetapi, sehingga ke hari ini hubungan saya dengan diplomat Itali dan Pakistan masih baik sebagai sahabat.

Bagaimana Tan Sri berhadapan dengan diplomat Itali dan Pakistan ketika itu?

Masalah ini diselesaikan dengan cara profesional. Di luar dewan kami adalah sahabat tetapi di dalam dewan saya adalah individu yang mempunyai hak dan penasihat.

Saya memberikan sebab dan fakta kukuh.

Sepanjang berkhidmat di PBB, apakah perkara mendukacitakan Tan Sri?

Dalam PBB, saya berkhidmat 10 tahun dan sebagai diplomatik 15 tahun.

Saya tidak pernah menyesal apa-apa. Tetapi ketika kali pertama saya di PBB, saya menyesal kerana saya tidak ‘sepandai’ diplomat lain.

Mereka mampu menguasai banyak bahasa, mereka mempunyai tiga ke empat ijazah, saya hanya ada satu ijazah sahaja jadi sebagai rakyat Malaysia ketika itu saya jauh ketinggalan.

Apakah permintaan Tan Sri untuk diplomat sekarang?

Saya mahu beliau teruskan usaha ini dan tidak boleh berhenti kerana sebelum ini banyak perkara Malaysia telah lakukan terutama soal polisi.
Sekiranya usaha itu dihentikan, negara antarabangsa beranggapan Malaysia menukar polisi dan berpendirian goyah.

Tidak perlu untuk bercakap perkara lepas. Apa yang penting kita perlu beri sokongan kepada wakil yang ada sekarang ini untuk lakukan yang lebih baik.

Mereka perlu menjada pendapat supaya agenda gerakan kesederhanaan tercapai.

Adakah Tan Sri berhasrat untuk kembali sebagai diplomat?

Tidak. Malaysia kini memerlukan pemimpin muda. Pemimpin berusia lebih 70 tahun sepatutnya tidak perlu terlibat lagi termasuk pemimpin politik kerana berhadapan dengan  masalah senile decay (nyanyuk).

Saya tidak faham mengapa masih ada sebilangan yang mahu meneruskan kepimpinan sedangkan sudah tiba masa untuk berundur.

Apakah petua untuk terus kelihatan sihat seperti Tan Sri?

Saya sentiasa bersenam dan lakukan aktiviti riadah. Apa yang penting otak perlu sentiasa berfikir.