HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 September 2013

Lebih ramai polis wanita



SHAH ALAM – Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, bilangan kes jenayah yang berkaitan dengan wanita dan kanak-kanak yang kian meningkat mendorong Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil lebih ramai konstabel wanita.


Menurut beliau, bilangan anggota polis wanita dalam jawatan pentadbiran dijangka meningkat dalam masa terdekat apabila pihak PDRM menambah bilangan anggota polis wanita yang pada ketika ini sebanyak 10.4% kepada 30% dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Pada masa ini, terdapat 11,523 anggota polis wanita dan kita mengakui keperluan untuk lebih ramai wanita dalam pasukan ini. Secara umum, anggota polis wanita juga telah dinilai mempunyai integriti lebih tinggi daripada anggota lelaki.

"Pada masa ini, terdapat 58 anggota polis wanita dengan pangkat dari Supt kepada Timbalan Komisioner, iaitu kira-kira 7.4% daripada pegawai-pegawai dalam pangkat itu," katanya

Menceritakan pengalamannya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita Datuk Zubaidah Md. Ismail berkata, walaupun terdapat diskriminasi anggota polis wanita pada 1970-an dan 1980-an, keadaan itu tidak lagi berlaku pada masa ini.

Zubaidah berkata, adalah sukar untuk mengimbangi antara kerja dan keluarga apabila beliau berkahwin dan mempunyai seorang anak tetapi ia bukan lagi isu sekarang kerana anaknya sudah pun bekerja dan mempunyai keluarga sendiri.

"Suami saya juga seorang anggota polis. Kami berusaha untuk menanganinya dengan baik," katanya.

Tiada ulasan: