Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan bahawa pihak polis tidak gentar dengan ugutan anggota kongsi gelap terhadap beberapa pegawainya dan akan mengesan individu atau pertubuhan itu.
  
"Mereka cuba mengacah sahaja. Jadi kami akan kesan mereka ini. Saya rasa pegawai-pegawai kami tidak gentar dengan ugutan-ugutan begini.

"Kumpulan kongsi gelap bukan sebahagian daripada masyarakat, jadi adalah menjadi tanggungjawab polis menghapuskan segala aktiviti-aktiviti yang bukan sebahagian daripada masyarakat kita," katanya Kota Baru hari ini.

Sebelum itu, beliau menghadiri mesyuarat ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang turut dihadiri Pengarah JSJ Datuk Hadi Ho Abdullah, Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan timbalannya Datuk Mazlan Lazim.
  
Mengulas isu di kawasan sempadan Malaysia-Thailand pula, Khalid berkata polis memantau rapi aktiviti berkaitan rentas sempadan dan ia berada dalam keadaan terkawal.
  
"Apabila keadaan memaksa kita untuk menutup sempadan oleh kerana sebab tertentu, kita akan laksanakannya," katanya.
  
Beliau berkata polis turut memantau rapi aktiviti penyeludupan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, beliau berkata pihak polis menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pilihan raya kecil DUN Sungai Limau.
  
Khalid berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu.
  
"Kami tunggu pengumuman notis dikemukakan kepada SPR, dan selepas kita dapat tarikh penamaan calon dan sebagainya, kami akan mulakan apa juga tindakan yang patut.
  
"Kami memang sentiasa bersedia dengan apa saja kemungkinan," katanya.- Bernama