Muka Depan Sinar Harian 30 September 2013.
KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa segera menyiasat kontraktor yang terlibat dalam pembinaan Masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal, Terengganu bagi mengenalpasti punca sebenar keruntuhan bumbung masjid tersebut.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, insiden itu adalah kejadian kedua yang berlaku untuk tahun ini selepas Masjid Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu turut mengalami kejadian sama pada 20 Mei lalu yang hampir meragut nyawa 12 jemaah yang baru selesai mengejarkan solat Isyak.
Menurutnya, pada 3 Oktober 2009, bumbung Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman juga runtuh dan menyebabkan tiga mangsa cedera.
"Kerajaan perlu menyenaraikan semua kontraktor dan pembekal yang mendapat projek pembinaan masjid yang telah runtuh sejak tahun 2009 hingga kini.
"Siasatan segera juga perlu dilakukan terhadap kontraktor yang terlibat dan melihat sejauh mana kelayakan mereka membina masjid. Siasatan itu juga perlu mengenal pasti adakah unsur-unsur kecuaian yang disengajakan dalam pemberian tender pembinaan," katanya di lobi Parlimen, hari ini.
Khairuddin berkata, Masjid Kampung Terbauk itu masih baru siap dibina dua tahun lepas, dengan kos hampir RM6 juta.
"Dengan kos yang besar dan masih baru selayaknya masjid ini dibina dengan binaan yang kukuh dan terbaik.
"Ini menimbulkan persoalan tahap profesional pihak yang bertanggungjawab terhadap pembinaan tersebut," katanya.
Khairuddin turut menggesa kerajaan negeri untuk segera menyemak semula tahap keselamatan masjid-masjid yang baru dibina di negeri itu terutamanya melibatkan kontraktor pembinaan yang sama.
Tambah beliau, kerajaan juga perlu menyenarai hitam kepada pihak pembekal atau kontraktor yang didapati cuai.
Pada 2 Jun 2009 rakyat Terengganu dikejutkan dengan kejadian bumbung runtuh melibatkan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang menelan belanja RM292.2juta, kejadian sama turut berulang pada 20 Februari 2013 sehingga menyebabkan lima orang pekerja cedera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan