Foto ihsan Twitter Fahmi Fadzil
SHAH ALAM - Suara Rakyat Malaysia (Suaram) hari ini, telah menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi bagi membantah pindaan ke atas Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959.
Menurut wakil jurucakap NGO terbabit, Fadiah Nadwa, pindaan akta tersebut seolah-olah mengembalikan Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA) iaitu menahan seseorang tanpa bicara.
“Kenapa perlaksanaannya ingin dilaksanakan secara tergesa-gesa?
“Kami akan berjuang sehingga akta ini tidak dilaksanakan, kita tunggu apa maklum balas menteri, kalau tiada apa-apa tindakan kami akan terus berusaha untuk membantah perlaksanaannya,” katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online, hari ini.
Sementara itu, kira-kira 50 orang hadir untuk menyerahkan memorandum tersebut di bangunan Parlimen pada jam 12 tengah hari tadi.
Turut hadir Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali serta beberapa ahli Parlimen pembangkang dan Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga.
Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa pindaan ke atas akta tersebut yang dicadangkan kerajaan adalah lebih khusus untuk memerangi jenayah terancang.
Perdana Menteri turut berkata, ia bukan hendak mengembalikan ISA.
Najib berkata, ISA berbeza daripada PCA kerana ISA memberi kuasa begitu luas untuk menahan seseorang individu tanpa proses mahkamah sebaliknya kuasa itu diberikan kepada pihak polis dan Menteri Dalam Negeri.
"Tetapi kali ini (di bawah pindaan akta) keputusan akan dibuat oleh pihak hakim, jadi kalau polis menahan sesiapa, ia perlu menyakinkan pihak hakim bahawa individu tertentu ini perlu ditahan," kata Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan