THE MALAYSIAN INSIDER
Mereka yang mahu membawa masuk abu atau mayat ke negara ini perlu memohon permit terlebih dahulu sebelum boleh berbuat demikian.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) berkata perkara
itu termaktub mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit
serta garis panduan pengimportan dan pengeksportan mayat atau mana-mana
bahagiannya.
"Sesiapa yang nak membawa apa juga 'remains' atau abu mayat masuk ke
Negara ini tanpa permit itu akan menjadi satu kesalahan. Kita takut abu
mayat ini ada penyakit berjangkit.
"Jadi jangan ingat tak ada undang-undang untuk kita menyekatnya,"
katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah di sini hari ini.
Khalid mengulas laporan sebuah portal berita bahawa Malaysia tidak
mempunyai undang-undang khusus untuk menghalang abu atau mayat Chin Peng
dibawa masuk ke negara ini selepas bekas setiausaha agung Parti Komunis
Malaya (PKM) itu meninggal dunia di Bangkok, Thailand pada 16 September
lepas.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan mayat atau abu mayat Chin Peng tidak
akan dibenar dibawa masuk ke negara ini sebagai menghormati keluarga dan
waris anggota pasukan keselamatan serta rakyat yang terkorban ketika
PKM melancarkan perang gerila untuk menggulingkan kerajaan ketika itu.
Mengulas perkara berkaitan, Khalid berkata mereka yang didapati cuba
menghidupkan semula fahaman komunisme di negara ini boleh ditahan
berdasarkan beberapa undang-undang. Antaranya ialah Akta Pertubuhan,
Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas)
2012, katanya. – Bernama,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan