Pengawalan harga ini dilaksanakan me bagi
memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana mampu memiliki
rumah mereka sendiri.
KUCHING: Kerajaan memandang serius isu kenaikan harga rumah yang dihadapi rakyat di negeri ini dan sedang berusaha untuk menangani masalah itu.
Menteri Perumahan, Datuk Johari Tun Abang Haji Openg berkata, kerajaan telah mengambil beberapa pendekatan membabitkan pelbagai dimensi seperti pelaksanaan dasar rumah kos rendah, kos sederhana rendah, pembinaan rumah kos rendah dan rumah mampu milik, serta penggunaan instrumen fiskal juga kewangan.
Menurut beliau kerajaan negeri telah melaksanakan dasar untuk mengawal harga bagi dua kategori rumah yang sedang dibangunkan iaitu rumah kos rendah dan rumah kos sederhana rendah.
“Pengawalan harga ini dilaksanakan melalui langkah-langkah pentadbiran bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana mampu memiliki rumah mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata kerajaan telah menetapkan siling harga rumah kos rendah pada RM50,400.00 bagi unit tengah dan RM59,220.00 bagi unit tepi.
Sementara bagi rumah kos sederhana rendah katanya, harga ditetapkan pada RM80,000.00 bagi unit tengah dan RM100,000.00 bagi unit tepi.
Ini, katanya lagi akan dapat meningkatkan lagi bilangan rumah di pasaran dengan harga yang mampu dibeli oleh kebanyakan rakyat.
Beliau menjelaskan kementerian Perumahan dengan kerjasama agensi-agensi yang berkaitan sedang mengkaji pelaksanaan dan penguatkuasaan dasar rumah kos rendah bagi menambahbaik mekanisme yang sedia ada dan menimbangkan penggubalan dasar baru bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar tersebut.
Abang Johari juga berkata kerajaan sedang meningkatkan bekalan rumah melalui pelaksanaan pelbagai projek dan program perumahan awam termasuk dengan penyertaan sektor swasta.
“Ini termasuklah Skim Rumah Mesra Rakyat (RMR), Program Perumahan Rakyat (PPR), Skim Rumah Mampu Milik (RMM), Skim PR1MA, Skim Rumah Pertamaku, dan Skim Pemilikan Rumah Mampu Milik Sektor Swasta (MyHome) ,” katanya.
Beliau berharap dengan pendekatan itu akan dapat membantu menangani dan menstabilkan harga rumah bagi membolehkah golongan berpendapatan rendah dan menengah dan mereka yang baru bekerja untuk memiliki rumah.
Beliau juga berkata melalui pelbagai inisiatif ini harga rumah ditetapkan di bawah harga pasaran melalui subsidi harga rumah atau subsidi kos rumah oleh Kerajaan dengan syarat-syarat kelayakan yang dapat dipenuhi oleh golongan sasar.
Beliau menambah kerajaan akan terus mengawasi kenaikan harga rumah dan jika perlu akan mengenakan langkah-langkah fiskal tambahan untuk memastikan harga hartanah tidak melambung dan membebankan pembeli rumah.
Sementara itu, sebanyak 12,338 buah rumah pelbagai jenis telah dibangunkan oleh para pemaju perumahan di seluruh Sarawak sepanjang tempoh setahun dari 30 September 2012 hingga 30 September 2013.
Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 16 peratus iaitu 1,734 unit berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2011/2012.
“Dari jumlah itu kawasan Kuching-Samarahan merangkumi kira-kira 60 peratus manakala Miri, 16 peratus, Sibu(10 peratus) dan sembilan peratus di Bintulu,” katanya sambil menambah baki lima peratus adalah pembangunan di lain-lain kawasan.
Menurut beliau dari segi harga rumah, ia telah menunjukkan peningkatan secara sederhana antara dua hingga 15 peratus dalam tempoh dua tahun yang lepas.
Beliau menjelaskan kenaikan itu berbeza mengikut jenis, rekabentuk dan lokasi rumah serta kadar permintaan semasa.
Sebagai contoh, kata beliau bagi kawasan Kuching, harga unit teres satu dan dua tingkat serta rumah berkembar setingkat dan dua tingkat di lokasi-lokasi utama seperti Tabuan Jaya, Tabuan Heights dan Matang Jaya, Kuching menunjukkan kenaikan antara 3 hingga 15 peratus.
“Ini adalah disebabkan oleh kesan langsung dan tidak langsung daripada kepesatan pembangunan komersial di kawasan tersebut,” katanya.
Manakala bagi Samarahan pula,jelas beliau penyiapan kompleks membeli-belah dan kewujudan beberapa institusi pengajian tinggi telah menyumbang kepada kenaikan harga rumah antara 11.4 hingga 13.3 peratus di kawasan sekitar.
Dalam pada itu tambahnya di Miri, hartanah serupa menyaksikan kenaikan harga antara 2.1 hingga 14.8 peratus.
Abang Johari juga berkata sebanyak 13,771 transaksi bernilai penjualan rumah RM2.56 bilion telah dicatat pada tempoh setengah tahun 2013 berbanding tempoh sama tahun lalu dan ia menunjukkan pengurangan sebanyak 12.3 hingga 10.6 peratus.
Dari segi prestasi jualan, katanya sebanyak 1,657 unit kediaman telah dilancarkan sepanjang separuh pertama tahun 2013 dan 731 unit atau 44.1 peratus telah dijual.
Beliau berkata prestasi jualan itu amat menggalakkan dan menunjukkan trend peningkatan berbanding tahun lalu.
Beliau menjelaskan dari segi unit tidak terjual dalam tempoh 9 bulan pertama projek dilancar, hanya sebanyak 535 unit iaitu RM103.19 juta belum dijual.
Keadaan ini tambahnya adalah lebih baik berbanding dengan rekod bagi tempoh separuh pertama tahun 2012 (791 unit) dan separuh kedua 2012 (611 unit).
Dalam pada itu, kata Abang Johari, faktor utama yang mempengaruhi pasaran perumahan di negeri Sarawak adalah Skim Rumah PertamaKu yang dilancarkan pada 2012 dengan pinjaman perumahan Kerajaan telah dinaikkan daripada RM200,000 kepada RM400,000.
“Ini telah memberi lebih banyak peluang kepada golongan kakitangan awam untuk membeli rumah,” katanya
Selain itu, katanya pembangunan SCORE terus merancakkan lagi pertumbuhan industri perumahan khususnya di Bahagian Mukah dan Bintulu.
Beliau juga menjelaskan kenaikan kos tanah dan kos pembangunan rumah turut memberi kesan negatif dari segi peningkatan harga rumah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan