HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 November 2013

Anwar: Penstrukturan Bernas untungkan Syed Mokhtar, kroni

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan sekiranya penstrukturan semula Bernas di Bursa Malaysia sebagai langkah untuk membahagikan semula pegangan saham kepada kroni kerajaan.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa penyahsenaraian itu bersifat sementara untuk tujuan penstrukturan semula.

Menurut Anwar, pemberian saham 5% kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) selepas penyenaraian semula menimbulkan lebih banyak persoalan.

“Adakah penstrukturan semula ini bermaksud membahagikan semula pegangan saham-saham BERNAS di antara kroni-kroni kerajaan seperti Batu Bara Resources Corporation Sdn Bhd yang kini memegang 22 juta saham bernilai hampir RM 82 juta?,” soalnya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Anwar, walaupun NAFAS dan NEKMAT dijanjikan pegangan saham yang agak tinggi ketika penyenaraian semula, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary dan pemegang saham minoriti yang mempunyai hubungan dengan kerajaan bakal mendapat habuan lebih besar.

“Bagaimana pula pihak kerajaan boleh membenarkan Tan Sri Syed Mokhtar menguasai BERNAS menerusi saham pegangannya yang berjumlah 83.4% dengan nilai RM 1,452 juta (pada RM 3.70 sesaham)? RM 1,452 juta diberikan kepada seorang individu, manakala hanya RM 174 juta dibahagikan kepada lebih 170,000 pesawah padi.

“Kepentingan para petani dan nelayan jelas dipinggirkan kerajaan, manakala kerakusan individu yang rapat dengan pihak kerajaan terus diutamakan.

“Inilah pengkhianatan kerajaan yang sepatutnya melindungi kepentingan para petani yang penat membanting tulang bagi memastikan bekalan beras negara ini terjamin. Harapkan pagar, pagar makan padi,” ujarnya.

Katanya lagi,  Ismail sebelum ini menyatakan pembelian gula mentah melalui kontrak jangka panjang pada Januari 2012 pada harga USD 0.26/lb adalah “satu langkah bijak yang diambil oleh kerajaan”.

“Namun, selepas pemeteraian kontrak itu harga gula mentah jatuh merudum ke USD 0.17/lb hingga kini. Hasil ‘kebijaksanaan’ pihaknya, kerajaan kemudian menghapuskan subsidi gula yang mengakibatkan harga gula mentah yang tinggi ini terpaksa ditanggung sepenuhnya oleh rakyat sehingga 2014,” ujarnya.

Katanya, setakat ini masih belum ada jaminan tegas daripada kerajaan bahawa pegangan saham oleh NAFAS dan NEKMAT tidak akan tergugat akibat penstrukturan semula ini.

“Sekiranya benar pegangan NAFAS dan NEKMAT akan dinaikkan kepada 5 peratus, bagaimanakah mereka akan membiayai pembelian saham-saham ini yang dianggarkan bernilai RM 50 juta tanpa penambahan bebanan kewangan?

“Kerajaan juga perlu menerangkan bagaimana ia boleh berpuashati dengan penambahan saham bernilai RM 50 juta sahaja kepada NAFAS dan NEKMAT di mana sekiranya pegangan asal mereka sebanyak 10% setiap satu dikekalkan semenjak penubuhan BERNAS (menerusi pemantauan berterusan pihak kerajaan), sekurang-kurangnya RM 174 juta lagi boleh diagihkan kepada golongan petani dan nelayan ini,” ujarnya.

Tiada ulasan: