HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 November 2013

Usia kahwin tak cecah setahun, kini cerai talak 3

MALAYSIA CHRONICLE




SHAH ALAM - Kurang seminggu sebelum sempat menyambut ulangtahun pertama perkahwinan, pasangan muda Nor Fazira Saad, 13 dan Mohd Fahmi Alias, 20, disahkan bercerai dengan talak tiga pada 11 November lalu di Mahkamah Syariah Kulim.

Nor Fazira berusia 12 tahun ketika dinikahkan dengan pasangannya, Mohd Fahmi yang ketika itu berusia 20 tahun.

Memetik laporan Harian Metro, bapa Nor Fazira, Saad Mustafa, 43, berkata, beliau menerima kenyataan berkenaan walaupun pahit dan menganggap bukan jodoh anaknya untuk kekal di alam perkahwinan.

Saad turut memberitahu bahawa dia tidak mengetahui punca sebenar keretakan rumah tangga anaknya itu kerana Nor Fazira tidak banyak bercakap mengenai nasib yang menimpa dirinya.
Buat masa ini, Nor Fazira tinggal bersama bapa saudaranya di Padang Serai untuk menenangkan fikiran.

Harian Metro turut melaporkan kegagalan untuk menghubungi keluarga Mohd Fahmi untuk mendapatkan maklum balas.

Nor Fazira mendirikan rumah tangga dengan pasangannya pada usia 12 tahun selepas mendapat perintah mahkamah mengikut Seksyen 18 (1) (a) Enakmen Undang Undang Keluarga Islam Kedah 2008.

Majlis pernikahan pasangan itu dilangsungkan di Masjid Kampung Padang Cina dengan mas kahwin RM1,500 serta wang hantaran RM4,552 pada 17 November 2012 selepas mendapat perintah kebenaran untuk bernikah di bawah umur daripada Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada 7 November 2012.

Berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), terdapat kira-kira 1,165 permohonan untuk berkahwin pada 2012 dan Mahkamah Syariah telah meluluskan 1,022 daripada permohonan terbabit.

Ia merupakan peningkatan berbanding rekod 2011, iaitu kira-kira 900 perkahwinan.
Sehingga Mei tahun ini, JKSM menerima 600 permohonan perkahwinan, di mana 446 telah diluluskan.

Di Malaysia, undang-undang umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun, tetapi 16 tahun untuk anak gadis Muslim dan mereka yang berusia di bawah 16 tahun boleh berkahwin dengan keizinan Mahkamah Syariah. - Sinar Harian

Tiada ulasan: