HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 November 2013

Henti persempadanan semula hingga masalah diselesaikan

Oleh Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0


BERSIH 2.0 mengecam kenyataan umum yang dikeluarkan oleh bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkaitan keahliannya dalam Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Menurut laporan media, beliau telah mengakui bahawa sepanjang tempoh beliau menjawat jawatan Setiausaha dan Pengerusi SPR, tiga persempadanan semula telah dijalankan untuk “mengekalkan kuasa Melayu.” (“Bekas pengerusi SPR sertai Perkasa untuk pastikan Melayu terus berkuasa”, The Malaysian Insider, 25 November 2013)
download
Beliau turut mengeluarkan kenyataan berbunyi, “Kami lakukan secara sah dan teliti. Mereka yang kalah semasa pilihan raya umum lalu mendakwa kami melakukan kesalahan. Jika betul, mengapa Barisan Nasional tewas di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor?”

Kenyataan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa penggarisan semula sempadan pilihan raya berdasarkan kaum tersebut dilakukan dengan “cara yang sah” dan “teliti” ternyata satu kenyataan yang tidak jujur.

Di bawah Jadual Ketiga Belas dalam Perlembagaan Persekutuan, salah satu prinsip yang harus diikuti dan dipatuhi dalam amalan persempadanan atau penggarisan semula ini termasuklah, “bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu negeri patutlah lebih kurang sama banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran perwajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya.”

Ukuran perwajaran dengan tujuan mengurangkan jumlah pengundi dalam kawasan desa berbanding kawasan bandar hanya boleh berlaku dengan mengambil kira kesukaran logistik untuk memberi khidmat kepada mereka.

bersih yellow

BERSIH 2.0 tidak menafikan bahawa peruntukan perwajaran di daerah desa sering ditafsirkan sebagai menyebelahi Melayu, namun gambaran sebenar adalah jauh lebih kompleks.

Kami suka untuk mendedahkan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, selain tidak beretika dan menyalahi semangat Perlembagaan, adalah tidak tepat dan tidak sejajar dengan fakta dan angka sebenar.

Kerusi DUN terbesar di Selangor dan Perak adalah kerusi majoriti Melayu; misalnya kerusi DUN Seri Serdang (majoriti Melayu) yang pernah menjadi kerusi BN dahulu adalah dua kali ganda lebih besar berbanding kerusi Kinrara (majoriti CIna) yang dimenangi oleh Pakatan.

Dengan meletakkan hanya seorang ADUN untuk berkhidmat kepada 72,729 pengundi berdaftar di Seri Serdang, serta puluhan ribu lagi penduduk yang bukan pengundi, apakah kebaikan yang diterima oleh pengundi Melayu di sana?

Peruntukan perwajaran yang digariskan di dalam Perlembagaan juga tidak dipatuhi oleh SPR, seperti yang berlaku di kawasan Parlimen desa seperti Baling (93,376 pengundi pada 2013) mempunyai lebih pengundi berbanding kawasan Parlimen bandar seperti Alor Setar (69,189 pengundi pada 2013).

Kedua-duanya adalah kawasan majoriti Melayu. Ternyata, bukan faktor kaum yang menjadi asas kepada amalan persempadanan pilihan raya yang lalu, sebaliknya politik.

Seperti yang selama ini diragui oleh BERSIH 2.0, ternyata gerrymandering dan pembahagian tidak adil berlaku hanya untuk memenuhi kepentingan parti politik yang sedang berkuasa.

Tugas yang diamanahkan kepada SPR tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan standard antarabangsa, termasuklah Inter-Parliamentary Union’s 1994 Declaration on Criteria for Free and Fair Election.

Kejayaan dan keberkesanan SPR tidak diukur pada kejayaan mana-mana parti politik menguasai mana-mana kerusi, sebaliknya kemampuan untuk mematuhi standard dan prinsip yang telah digariskan seperti di atas.

Kenyataan oleh Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ini membuktikan kebenaran dakwaan BERSIH 2.0 selama ini bahawa SPR adalah badan pilihan raya yang tidak adil dan berat sebelah.

Apabila bekas Pengerusi SPR sendiri mampu membuat kenyataan sebegini secara terbuka, tanpa mengambil kira tanggungjawab dan akauntabilitinya terhadap masyarakat, maka kami yakin sikap dan amalan sebegini akan turut diwarisi oleh SPR hari ini.

sempadanimages

Dengan rekod lampau yang ditunjukkan oleh SPR yang lalu, BERSIH 2.0 tidak mempunyai keyakinan ke atas barisan SPR hari ini dalam menjalankan tugas mereka secara adil, bebas, dan beretika.

Testimoni yang dikumpul ketika Tribunal Rakyat pada September 2013 yang lalu pernah mendedahkan kewujudan ahli-ahli parti politik yang aktif menjadi petugas SPR ketika Pilihan Raya Umum yang ke 13 lepas. Sebelumnya, timbul dakwaan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR juga mempunyai keahlian dalam UMNO.

Keengganan SPR untuk membersihkan senarai undi walau sudah dibuktikan sebagai bermasalah kini boleh difahami sebab-musababnya. Penemuan kes-kes penyelewengan dan pelanggaran peraturan pilihan raya pada PRU13 oleh Pemantau Pilihan Raya Rakyat (PEMANTAU), ditambah dengan keengganan SPR untuk bertanggungjawab dalam kes dakwat kekal; memuktamadkan segala dakwaan.

BERSIH 2.0 sekeras-kerasnya dengan ini, sekali lagi menggesa supaya persempadanan semula yang sedang berlangsung kini dihentikan serta merta sehingga senarai pengundi dibersihkan, dan Suruhanjaya Pilihan Raya yang baru perlu dilantik dengan penglibatan langsung masyarakat sivil.

Kenyataan oleh Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ini melengkapkan lagi episod panjang kecurangan dan salah laku yang terpalit ke atas Suruhanjaya Pilihan Raya selama ini. Walau yang demikian, kami percaya kecurangan ini boleh dihentikan, namun ia perlu dilakukan sekarang.

Salam BERSIH!

Tiada ulasan: