Tuntutan gaji tiada dalam memorandum  
 
BBC pada sidang media semalam menafikan kenaikan gaji ada dalam memorandum belanjawan.


SHAH ALAM - Kelab penyokong kerajaan (BBC) menafikan memorandum yang dihantar sebelum pembentangan Belanjawan Selangor 2014 ada cadangan kenaikan gaji Adun.

Wakilnya, Dr Abdul Rani Osman (Pas- Meru) berkata, 99 peratus kandungan cadangan memorandum berkenaan adalah berkaitan peruntukan yang terus kepada rakyat.

Menurutnya, ahli BBC berterima kasih kepada kerajaan negeri dan hal ini akan kukuhkan iltizam untuk berkhidmat dengan lebih baik.

“Pengumuman pindaan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri Saraan 2013 yang melibatkan kenaikan elaun Menteri Besar, Exco, Speaker, Timbalan Speaker dan Adun mendapat maklum balas bercampur-campur dari orang ramai.

“Bagaimanapun, kenaikan ini juga wajar dilihat meletakkan pengiktirafan yang tinggi kepada ahli dewan dan menjauhkan penyelewengan dan amalan rasuah yang atas desakan yang kadang kala wujud ke atas pemimpin masyarakat,” katanya pada sidang media di Lobi Dewan Annex semasa Sidang Dun berhenti rehat, semalam.

Beliau berkata, kenaikan gaji Adun sepatutnya tidak dijadikan isu kerana ia berpatutan walhal difahamkan negeri lain seperti Kedah, Pulau Pinang dan beberapa lagi bakal mengikut jejak sama.

“Kenaikan di Sarawak sampai 300 peratus. Kenapa tidak ada orang besar-besarkan isu ini? Dalam Islam pun tidak sekat kita untuk dapat banyak duit tetapi perlu dengan cara yang betul dan halal dan perbelanjaan juga perlu baik.