HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 November 2013

Persekutuan Malaysia: Sabah dan Sarawak tentukanlah nasib sendiri

ASPAN ALIAS


Selalunya sesebuah negara, politiknya berkisar tentang masalah yang di lakukan oleh rakyat kerana sistem demokrasi yang membolehkan sesiapa memberikan pandangan dan menentukan hala tuju negara. Demokrasi itu katanya adalah sebuah kerajaan rakyat untuk rakyat dan oleh rakyat. Dari kecil lagi definasi ini telah terpahat kepada pemikiran dan benak manusia yang tinggal dalam negara demokrasi.

Tetapi di sini, satu lagi negara yang katanya mengamalkan sistem demokrasi itu. Tetapi masalah bukan datang dari rakyat, tetapi banyak masalah itu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang memerintah negara demokrasi ini. Cuba kita lihat dan kaji, semua isu yang berbangkit adalah isu pemimpin-pemimpin kita. Isu rakyat hanyalah isu kemiskinan, isu jurang perbezaan pendapatan diantara yang berada dan tidak berada dan isu kemiskinan keseluruhannya dan juga masalah perhubungan diantara kaum yang sangat merbahaya berlaku sekarang ini.

Kesemua isu ini di sebabkan kelemahan pemimpin, bukan sahaja dari kelemahan pemikiran tetapi budaya yang membina pemikiran itu, seperti rasuah yang seolah-olah telah halal di lakukan oleh siapa sahaja yang memimpin. Sekarang ini seolah-olah telah di terima sebagai perkara biasa, siapa sahaja yang memimpin boleh melakukan rasuah dan rasuah itu adalah kemestian di lakukan oleh siapa yang memimpin.

Ada juga yang bertanya kepada saya kenapa saya tidak henti-henti bercakap tentang rasuah sebegitu lama? Mereka kata mereka sudah jemu dengan isu yang tua ini. Jawapan saya mudah. Saya tidak berhenti-henti bercakap tentang rasuah kerana rasuah tidak henti-henti dilakukan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan dan kroni yang berada di tepi orang yang berkuasa.

Rakyat menghadapi isu yang terlalu besar dalam banyak perkara. Isu negara yang paling asas sendiri pun tidak dilaksanakan dengan betul. Suatu ketika dahulu saya telah menulis tentang isu ‘federalism’ yang tidak terlaksana walaupun kita adalah sebuah negara Persekutuan. Banyak perlakuan pimpinan Persekutuan tidak mahu menerima yang kedaulatan Persekutuan itu datangnya dari kedaulatan negeri-negeri yang berada di dalam Persekutuan itu sendiri.

Persekutuan telah menguasai hampir kesemua perkara seolah-olah negara ini adalah sebuah negara ‘unitary’ seperti Thailand, Indonesia dan banyak negara lain. Kalau semuanya di kuasai oleh Persekutuan, apa bezanya jika negara kita terus ditadbir oleh kerajaan Malayan Union dahulu. Bukankah Malayan Union itu di tentang kerana British hendak menjadikan negara ini sebuah negara ‘unitary’ dan meletakkan pusat pentadbirannya di Kuala Lumpur?

Jika kerajaan Persekutuan hari ini ingin terus menguasai negeri-negeri dan tidak mahu mengakui kedaulatan kerajaan-kerajaan negeri di bawahnya maka kita tidak tumpah sebagai sebuah negara ‘unitary’ seperti yang hendak di bentuk oleh British dahulu? Tidak payah lagi ada sempadan diantara negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu ini dan jadikan negara ini sebagai sebuah negara ‘unitary’ seperti di kebanyakkan negara-negara lain di dunia ini.

AS dan Australia contohnya, adalah negara-negara Persekutuan. Di AS setiap negeri-negeri yang bergabung dalam Persekutuan itu mempunyai banyak kuasanya sendiri. Malahan kerajaan negeri-negeri dalam Persekutuan itu mengutip cukai-cukai yang diperolehi dalam negeri masing-masing, malahan banyak undang-undang berbeza diantara satu negeri dengan negeri yang lain.

Di negara kita kerajaan Persekutuan menguasai segala-gala yang ada dalam negeri-negeri di dalam Persekutuan sehinggakan perjanjian untuk memberikan ‘royalti’ minyak kepada negeri-negeri dalam Persekutuan itu pun di permainkan tanpa rasa segan dan silu.

Walhal minyak yang di gerudi dan di jual itu adalah hak negeri-negeri yang telah memberikannya kepada agensi minyak kebangsaan, Petronas, untuk melakukan apa sahaja dengan menjanjikan pulangan sebanyak 5 peratus dari harga jualan mengikut harga FOB. Jelas dalam perjanjian itu bayaran hendaklah di berikan dalam bentuk tunai dua kali setahun kepada kerajaan negeri pilihan rakyat negeri itu.

Jika itu sikap kerajaan Persekutuan apa bezanya dengan kerajaan ‘unitary’ Malayan Union anjuran British dahulu? Itu setakat secebis isu tentang ‘federalism’ di Semenanjung. Bagaimana pula sikap Kerajaan Persekutuan dengan negara-negara baru yang menyertai Persekutuan Malaysia, Sabah dan Sarawak? Kita tahu perjanjian itu adalah diantara Persekutuan Tanah Melayu dengan dua negara lain, Sabah dan Sarawak.

Ini juga merupakan isu yang tidak pernah kerajaan Persekutuan duduk dan berunding untuk menyelesaikan rasa resah gelisah rakyat kedua-dua buah negeri itu. Siapa yang hendak memulakan usaha untuk menyelesaikan isu dengan baik, selari dengan kandungan perjanjian Malaysia yang di tandatangani pada 1963 dahulu?

Ini merupakan isu yang sangat besar dan wakil rakyat Persekutuan yang mewakili rakyat Sabah dan Sarawak wajar berfikir dan bertindak mengikut sentimen dan kehendak rakyat yang mereka wakili. Selagi ahli-ahli Parlimen di kedua-dua buah negeri tidak melakukan tindakan untuk menyelesaikan isu ini, siapa yang hendak menyelesaikannya pada masa yang akan datang?

Tetapi jika ada usaha dari individu dan pemimpin samada dari Semenanjung atau dari mana yang mahu menyelesaikan isu ini dengan penuh komitmen, saya mencadangkan supaya usaha ini mendapat dukungan sepenuhnya dari rakyat Sabah dan Sarawak, melalui ahli-ahli parlimen yang mewakili mereka. Jika tidak sanggup atau masih takut-takut melakukannya, maka tidak salah lah pandangan setengah pihak yang Semenanjung merupakan penjajah kepada kedua-dua buah negeri ini.

Kita tidak mahu tuduh menuduh ini terus berkekalan, maka adalah wajar bagi pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak memulakan berfikir dan bertindak berani bagi penyelesaian ini. Apatah lagi dalam keadaan sekarang kekuatan BN letaknya di Sabah dan Sarawak.. Negeri-negeri Borneo, Sarawak dan Sabah wajar memberikan sokongan kepada mana-mana pihak dan individu yang bersedia mendengar dan melakukan apa yang sepatutnya di lakukan selari dengan kandungan perjanjian Persekutuan itu.

Rakyat Sabah dan Sarawak tidak perlu merungut sahaja tanpa melakukan sebarang usaha bagi memenuhi aspirasi rakyat kedua-dua ahli Persekutuan Malaysia itu. Itulah tanggungjawab pemimpin-pemimpin dari Sabah dan Sarawak dan mereka tidak boleh berpeluk tubuh semata-mata hendak menjaga kepentingan peribadi masing-masing sahaja. Maka mereka takut untuk bertindak kerana budaya ‘patronizing’ yang di kenakan oleh pimpinan Persekutuan terhadap pemimpin di kedua-dua buah negeri (negara) ini.

Bagi saya siapa sahaja yang berani dan sanggup mengusahakan perkara penting ini dengan terbuka dialah yang sepatutnya di jadikan pemimpin negara bagi memenuhi kehendak dan penyelesaian berhubung dengan isu Persekutuan ini untuk kepentingan semua negeri-negeri yang menganggotai Persekutuan Malaysia yang kita cintai ini.

Saya amat bergembira kerana sudah ada suara lantang di Sabah dan Sarawak kedengaran sekarang ini. Maka siapa sahaja yang bersedia untuk mengendalikan Persekutuan ini dengan premis yang benar dan betul seperti yang terkandung dalam Perjanjian Persekutuan itu. beliau wajar di berikan sokongan setidak-tidaknya bagi pemimpin-pemimpin kedua-dua buah negeri ini meninggalkan nama dan budi seperti harimau meninggalkan belang setelah mati.

Jika pemimpin-pemimpin di Sabah dan Sarawak tidak mahu melakukan tugasan dan tanggungjawab ini, maka mereka adalah penghalang kepada tuntutan rakyat mereka. Di Semenanjung Kelantan dan Terengganu merupakan negeri-negeri yang telah mengalami pengalaman pahit ini dan sekarang sedang berjuang untuk membenteras budaya Malayan Union yang sedang menguasai pemikiran rakyat sekarang ini.

Rakyat sedang memerhati dan mengintai peluang untuk pembetulan ini, maka sesiapa yang berani keluar untuk memulakan pembaharuan ini beliau atau kumpulan ini wajar mendapat sokongan dan seterusnya di dinding dan di jaga terus-terusan oleh rakyat yang dahagakan keadilan yang ‘perpetual’.

Tiada ulasan: