VIDEO l 4:09 minit


Anggota Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah diarahkan keluar daripada Dewan Rakyat sehinggalah perbahasan Belanjawan 2014 peringkat jawatankuasa melibatkan Kementerian Wilayah Persekutuan, selesai.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengeluarkan perintah itu selepas Sivarasa cuba untuk membincangkan penyelesaian kepada isu perobohan sebahagian kuil Sri Muneswarar Kaliyaman di Jalan P Ramlee, Kuala Lumpur.

Menurut Pandikar, isu tersebut sudah dibangkitkan sebelum ini oleh Anggota Parlimen Padang Serai, N Surendran.

Arahan keluar dewan itu dibuat Pandikar mengikut Peraturan Mesyuarat 44(2).

Sejam kemudian, Anggota Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar pula diarahkan "berehat" selama dua hari oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan, Datuk Mohamed Said Ismail.

Beliau diarahkan berbuat demikian selepas berulang kali bertegas menuntut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan memberikan kemaskini tentang status perobohan kuil tersebut.

Sivarasa dalam sidang medianya kemudian mendakwa bahawa Pandikar tidak bersikap berkecuali dan "emosional" apabila mengeluarkan arahan itu.

Beliau mendakwa, Pandikar bergantung kepada versi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam perobohan kuil tersebut.

Tegasnya, beliau sendiri akan menunjukkan notis mahkamah yang tidak membenarkan perobohan itu dilakukan.

"Arahan mahkamah tidak membenarkan perobohan mana-mana bahagian kuil itu," katanya.