HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 November 2013

Pembekal MAIJ 'langsai' isu penyelewengan zakat


 

Pembekal yang didakwa “menyelewengkan” dana zakat yang diluluskan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) untuk seorang kurang upaya telah “melangsaikan” isu itu, dengan pembelian peralatan bernilai sekitar RM3,000.

“Kes ini sudah selesai. Saya sudah berjumpa dengan Encik Azizan (Ja'far). Saya dah langsaikan semua. Kamu telefon dia sendiri,” kata pembekal yang hanya dikenali sebagai Rizal itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut MAIJ, Rizal merupakan pembekal dari pihak syarikat Sharezone yang dilantik oleh MAIJ untuk bekalan bantuan berdikari.

Semasa dihubungi, Azizan mengesahkan bahawa Rizal telah membawanya ke sebuah kedai di Muar untuk membeli peralatan untuk perniagaan bekam beliau Rabu lalu.

Peralatan ini termasuk sebuah kerusi refleksologi, katil dan mesen lampu infrared.

“Rizal membayar untuk semua ini secara tunai, jadi saya simpulkan bahawa MAIJ sudahpun membayarnya, tapi dia sendiri tidak membekalkan peralatan seperti nilai yang diluluskan,” kata beliau.

Namun, nilai semua peralatan yang telah diserahkan itu, termasuk yang dibeli Rabu lalu masih lebih rendah dari RM4,850 yang diluluskan oleh MAIJ untuk Azizan Oktober lalu.

“Kami telah muzakarah dengan baik. Dia dah mohon maaf, jadi saya kena berlembut. Sebagai seorang Islam, saya terima dan kita sama-sama tolak ansur,” kata beliau.

Azizan berkata Rizal sebelum itu melawat rumahnya di Muar bersama wakil MAIJ.

Menurutnya, pegawai MAIJ juga memohon maaf tetapi masih berkeras yang apa berlaku bukan “penyelewengan” dana zakat.

Mereka juga merayu pada Azizan untuk menarik balik aduannya kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan Malaysiakini.

“Kalau bukan penyelewengan, apa dia? Ini macam kita panggil babi khinzir supaya bunyi lagi lembut,” kata beliau.

Semalam Malaysiakini melaporkan bahawa Azizan telah membuat laporan SPRM atas dakwaan penyelewengan dana zakat.

Beliau mendakwa bantuan peralatan yang diterima bernilai kurang RM800 dan bukan RM4,500 yang dinyatakan dalam notis serahan.

Menjawab kepada Malaysiakini, MAIJ menafikan penyelewengan zakat dan menegaskan bahawa pembekal telah diarahkan untuk menghantar peralatan bernilai RM4,850.

1. MAIJ nafi dakwaan salahguna dana zakat
2. Aduan pada SPRM dakwaan 'salahguna dana zakat'

Tiada ulasan: