'Abdul Khalid jadi batu penghalang'  
 
Laporan muka depan Sinar Harian pada 27 November lalu.


SHAH ALAM - Kumpulan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Puncak Niaga (KPPSMPN) menyelar kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menuduh Syabas ‘berdosa’ kepada rakyat Selangor berikutan kegagalan syarikat itu memastikan bekalan air terawat mencukupi.

Pengerusinya, Muhamad Imran Abdullah berkata, kenyataan itu tidak sepatutnya dikeluarkan seorang pemimpin bertaraf menteri besar.

Katanya, Abdul Khalid sebenarnya harus dipersalahkan berikutan tindakannya yang meletakkan pelbagai syarat menyebabkan banyak operasi Syabas terjejas.

“Projek-projek Syabas bagi pengurangan Non-Revenue Water (NRW) misalnya telah dihalang pelaksanaannya oleh beliau selain menidakkan hak rakyat dengan menghalang pelaksanaan pembinaan loji tambahan di Langat dua.

“Beliaulah sebenarnya yang menjadi batu penghalang kepada Syabas daripada memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan tuduhan itu dilihat hanya untuk menutup kelemahan dirinya,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Imran mendedahkan dua syarikat pelaburan milik Kerajaan Negeri Selangor iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad mempunyai pegangan saham berjumlah 30 peratus di dalam Syabas.

“Sekiranya beliau mendakwa Syabas berdosa, maka kerajaan negeri juga ‘berdosa’ terhadap rakyat,” katanya.

Justeru, beliau menggesa rundingan berkenaan penstrukturan semula air Selangor dibuat selain memberi amaran kepada Abdul Khalid supaya tidak menggunakan platform itu untuk menyekat segala program yang dianjurkan Syabas.