JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Tangkak, Ee Chin Li meminta Kerajaan Negeri Johor bersungguh-sungguh menjayakan transformasi luar bandar di negeri itu memandangkan masih ramai golongan miskin tidak terbela.
Chin Li ketika membahaskan ucapan belanjawan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor baru-baru ini mendedahkan masih ramai penduduk luar bandar di negeri itu yang tidak disediakan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya.
“Sesetengah penduduk di kawasan luar bandar bukan saja menghadapi masalah berkenaan, kekurangan pengangkutan awam dan tidak dapat akses jalur lebar, manakala golongan warga miskin tegar dan daif tidak disediakan tempat tinggal yang lebih selesa.
“Ada kalangan penduduk sudah membuat permohonan mendapatkan bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), tetapi terpaksa menunggu sehingga tiga atau empat tahun, tetapi akhirnya gagal mendapat bantuan membaiki rumah serta ada yang tidak menerima maklum balas langsung mengenai status permohonan mereka,” katanya.
Juteru, beliau menggesa kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap perkara itu dan memperbanyakkan lagi pembinaan rumah kos rendah dan sederhana bagi golongan kurang berkemampuan.
“Apa yang mereka mahu bukan sahaja jalan kampung yang baik, bekalan air dan eletrik, mereka juga perlukan kediaman yang lebih selesa dan selamat,” ujarnya.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan