HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 November 2013

Tidak tolak usul naik gaji, SAMM pertikai Azmin



gaji dun naik


SHAH ALAM - Tindakan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor yang tidak membantah atau menolak usul kenaikan gaji Dun Selangor didakwa seperti membuat pusingan 180 darjah.

Penyelaras Bersama Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Johor, Roslee Mohd Shariff berkata, di dalam Dewan Dun, kelulusan kenaikan gaji ini bukanlah keputusan eksekutif semata-mata sebaliknya merupakan keputusan kolektif kesemua Adun Selangor.

“Mereka mengundi untuk meluluskan usul kenaikan namun apabila berhadapan dengan media, BBC membuat kenyataan berlainan dan meletakkan semua beban kesalahan kepada Menteri Besar seorang.

“Adakah BBC berpandangan bahawa Dewan Dun itu adalah seperti sebuah set penggambaran drama?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Pengerusi BBC Selangor, Mohammed Azmin Ali menafikan pihaknya menuntut usul kenaikan gaji tersebut sebaliknya meminta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat penjelasan berhubung perkara itu supaya tidak timbul spekulasi.

"Saya cadangkan kenaikan elaun ini ditangguhkan dan dikaji semula supaya kadar munasabah dan memberi penjelasan kepada rakyat mengenai keperluan ini.

"BBC cadangkan dalam perbincangan imbuhan ini kita mesti fikir mengenai kemudahan lain yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat," katanya.

Pada Rabu lalu, usul kenaikan gaji yang dibawa Abdul Khalid di sidang Dun Selangor dipersetujui sebulat suara oleh semua Adun ketika Rang Undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) Pindaan 2013.

Abdul Khalid berkata, usul itu dibawa untuk membolehkan peruntukan dipinda dan pembayaran gaji baru dapat dibuat mulai 1 Januari.

Berikutan itu, gaji Menteri Besar Selangor naik lebih 100 peratus bermula 1 Januari depan, iaitu daripada RM14,175.15 kepada RM29,250.

Turut menikmati kenaikan mendadak ialah Speaker, iaitu daripada RM6,109.29 kepada RM22,500; Timbalan Speaker daripada RM3,327.50 kepada RM15,750; Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada RM6,109.29 kepada RM20,250 dan Adun daripada RM6,000 kepada RM11,250.

Ekoran pengumuman itu, pelbagai pihak menyatakan bantahan termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan kenaikan itu terlalu tinggi dan mendadak.

Mengulas perkara sama, Roslee menambah, adalah tidak patut setelah pelbagai lapisan rakyat menyatakan bantahan termasuklah Ketua Pembangkang, baru BBC tersedar daripada lenanya.

“Apakah kenyataan Pengerusi BBC ini hanya untuk mengampu Ketua Pembangkang yang juga merupakan Ketua Umum PKR semata-mata setelah beliau mengeluarkan kenyataan?

“Adakah Pengerusi BBC tidak berada di dalam Dewan Dun sehinggakan beliau tidak menyedari usul kenaikan gaji ini dibahaskan?” katanya lagi.

Katanya lagi, rasional perbandingan gaji Menteri Besar, Exco, Adun, Speaker dan Timbalan Speaker dengan swasta bukan satu justifikasi yang boleh diterima pakai.

Tambah Roslee, swasta atau korporat adalah merupakan organisasi yang berorientasikan keuntungan sedangkan pentadbiran kerajaan negeri lebih berorientasikan khidmat kepada rakyat.

“Jika rasional ini digunapakai, maka seharusnya seluruh penjawat awam negeri Selangor perlu menerima gaji yang setara dengan sektor swasta,” katanya.

Tiada ulasan: