HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 November 2013

Kenaikan gaji MB, Exco dan Adun Selangor terlalu tinggi, kata Anwar

OLEH DIYANA ANWAR


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar), berkata kenaikan gaji pemimpin tertinggi kerajaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Selangor terlalu tinggi dan dibuat secara mendadak.

Katanya, walaupun setuju dengan cadangan kenaikan gaji itu, beliau berpendapat kadar kenaikannya tidak munasabah.

"Saya setuju jika gaji dinaikkan tetapi pada pendapat saya menteri besar perlu menilai semua kadar tersebut dan memberi alasan munasabah kenaikan tersebut," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan kenaikan gaji untuk semua 56 Adun berkuatkuasa 1 Januari depan, dengan timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3%.

Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji menteri besar Selangor, speaker DUN dan barisan exco kerajaan negeri.

Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN  (RM6,109.29 kepada RM22,500); timbalan speaker (RM3,327.50 kepada RM15,750) dan Adun (RM6,000 kepada RM11,250).

Tiada ulasan: