HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 November 2013

Umno Melaka beri perhatian pada muzakarah Umno - PAS

THE MALAYIAN INSIDER


Badan Perhubungan Umno Melaka meletakkan isu muzakarah antara Umno dan PAS sebagai antara isu utama yang perlu diberi perhatian pada Perhimpunan Agung Umno pada 2 hingga 7 Disember.

Pengerusinya, Datuk Seri Idris Haron (gambar), berkata muzakarah Umno dan PAS itu penting bagi merintis jalan perpaduan antara umat Islam dan bangsa Melayu yang menurutnya amat penting bagi masa hadapan negara ini.

Ketua Menteri Melaka itu berkata, perpaduan itu penting bagi memastikan Islam berdiri utuh di negeri dan negara ini dan anak cucu bangsa Melayu tidak akan sama sekali merempat di bumi sendiri pada masa akan datang.

"Saya akan lihat di mana ruang (pada perhimpunan itu) boleh beri pendapat dan cadangan bagi memungkinkan muzakarah itu untuk cari persamaan dan kecilkan perbezaan dalam satu kaedah yang mudah, tanpa dipengaruhi politik atau pihak lain hanya demi Islam dan Melayu," katanya.

Dalam merealisasikan muzakarah itu juga, beliau menyeru semua pihak mengenepikan segala kepentingan politik serta peribadi dan menumpukan kepada kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Shah Alam, Selangor Ahad lalu, berkata parti itu sedia bermuzakarah dengan Umno dalam usaha untuk melaksana pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini.

Badan Perhubungan Umno Melaka bakal menampilkan jurucakap masing-masing dari bahagian Jasin, Tangga Batu dan Alor Gajah.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Akhbar Ali akan mewakili bahagian Jasin membahaskan usul ekonomi dan sosial, Ketua Pemuda Bahagian Tangga Batu, Zali Mat Yasin akan membahaskan usul pendidikan dan agama, manakala Mustafa Yusof dari bahagian Alor Gajah akan membahaskan usul menyokong ucapan dasar presiden.

Idris berkata, dalam usul agama, beliau mahu pembahasnya melihat kepada kepentingan Umno sebagai 'tiang seri' kepada kemajuan Islam di negara ini yang sering dipandang sepi oleh pelbagai pihak terutamanya generasi muda.

"Umno tidak henti-henti berhempas pulas demi Islam walaupun ada pihak yang memperlekeh usaha Umno dan saya mahu peranan Umno sebagai pendukung Islam diperkukuhkan ke tahap lebih tinggi tanpa mempedulikan cakap-cakap belakang ini," katanya.

Katanya, usul itu wajar diketengahkan bagi memastikan Islam sentiasa tersemat di dada setiap generasi muda di negara ini dan usaha perjuangan Islam dalam Umno diperkukuh.

Selain itu, beliau juga mahu pembahas menumpukan kepada usaha menambah baik dan memperkukuh sistem pendidikan di negara ini dalam usul pendidikan terutamanya melibatkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

"Ini penting bagi membentuk sistem pendidikan mampan yang mampu membentuk generasi muda kita kepada rakyat yang berdaya maju dan mampu memajukan negara suatu hari nanti," katanya.

Idris juga mengarahkan setiap pembahas memperincikan butiran yang akan dibahaskan dan beliau akan melihat semula perincian itu supaya bersesuaian dengan matlamat serta cadangan yang ingin ditonjolkan badan perhubungan Umno negeri.

Badan Perhubungan Umno Melaka bakal menghantar 157 perwakilan dengan 85 perwakilan menghadiri perhimpunan utama manakala 72 perwakilan menghadiri perhimpunan tiga sayap parti.

Melaka mempunyai lebih 136,000 anggota Umno yang menggangotai enam bahagian iaitu Tangga Batu, Alor Gajah, Masjid Tanah, Jasin, Bukit Katil dan Kota Melaka. - Bernama

Tiada ulasan: