Perakuan 'haram' Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ke atas novel Perempuan Nan Bercinta dianggap hanya terpakai kepada orang Islam di negara ini, kata kumpulan aktivis sastera yang dikenali sebagai Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).
Pengerusinya, Uthaya Shankar SB berkata ini kerana sehingga kini tiada kenyataan rasmi tentang perkara itu daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menegaskan niatnya yang tidak mahu masuk campur dalam hal ehwalagama Islam, Uthaya berkata, Jakim juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang novel tulisan Faisal Tehrani itu.
Perempuan Nan Bercinta yang dilancarkan perdana menteri pada Julai tahun tahun lalu diumumkan haram oleh Penolong Pengarah Seksyen Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Mohd Aizam Mas'od kerana didakwa mengandungi unsur Syiah.
"Sebagaimana dalam isu “pengharaman” novel Sebongkah Batu di Kuala Berang, tidak ada juga sebarang kenyataan rasmi daripada KDN.
"Dalam keadaan ini, saya selaku seorang penulis, perunding media, penerbit dan pengedar buku boleh mengandaikan bahawa “pengharaman” yang diumumkan oleh Aizam di suatu majlis wacana tertutup hanya terpakai bagi orang Islam," kata Uthaya.
Situasi itu kata Uthaya, membolehkan mereka yang bukan beragama Islam untuk terus membeli, memiliki dan membaca kedua-dua novel itu secara terbuka.
Pada masa yang sama, kata Uthaya, perakuan 'haram' itu bertentangan dengan ikrar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sewaktu melancarkan novel itu pada Julai tahun lepas.
Memetik laporan Bernama, Uthaya memetik Najib sebagai berkata: “Kita akan sentiasa memberikan ruang yang secukupnya kepada para penulis untuk berkarya. Kita akan membantu golongan penulis terutama generasi muda untuk mengembangkan bakat mereka.”
Justeru, Uthaya menggesa Jakim agar memberi penjelasan "rasional yang jelas dan ilmiah" menggunakan kenyataan rasmi untuk mengelakkan kekeliruan lanjut dalam hal itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan