Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS akan berbicang terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan mengenai pelaksanaan muzakarah seperti yang disaran oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Laporan Sinar Harian hari ini menyebut Tuan Ibrahim berkata buat masa ini masih belum ada sebarang tindakan sehinggalah perbincangan diadakan.

"Buat masa ini masih belum ada apa-apa tindakan susulan mengenai muzakarah seperti disarankan presiden PAS, tapi akan ada perbincangan mengenainya.

"Mungkin selepas daripada perbincangan itu beliau (Abdul Hadi) akan ada perancangan seperti yang dikatakan, PAS bersedia melaksanakannya," katanya seperti dilapor akhbar itu hari ini.

Katanya, fokus PAS buat masa ini adalah mengenai usul yang dibentang dalam muktamar PAS minggu lalu antara lain mendesak kerajaan pusat melaksanakan sistem perundangan Islam dan membenarkan negeri mana-mana negeri yang ingin melaksanakannya.

"Saya fikir masih banyk perkara yang belum selesai dan bolh dibincangkan dan untuk usul ini kita akan bawa ke parlimen dan harap ia akan mendapat sokongan daripada semua ahli parlimen.

"Dan pada masa yang sama surat rasmi juga akan dikirim ke perdana menteri," kata Tuan Ibrahim lagi.