HALAMAN SANTAI
Jumaat, 29 November 2013
Isu gaji melampau: Mesyuarat tergempar Pakatan 4 Disember
Pakatan Rakyat (PR) Selangor akan cuba menyelesaikan kemelut kenaikan gaji mendadak kakitangan pentadbiran dan wakil rakyat Selangor dalam mesyuarat mereka pada 4 Disember ini.
Mesyuarat itu dijangka akan meminta penjelasan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai kewajaran kenaikan gaji mendadak kakitangan pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.
"Kita akan minta penjelasan kewajaran angka yang diberikan oleh menteri besar ketika mengumumkan kenaikan gaji ini. Ini kerana kita tidak dimaklumkan secara terpenrinci sebelum ia dibentangkan menteri besar," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad (gambar) kepada The Malaysian Insider.
Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata demikian ketika mengulas skim gaji baru untuk menteri besar, speaker, timbalan speaker, exco dan Adun Selangor sebagaimana yang diumumkan oleh Abdul Khalid baru-baru ini.
Gaji menteri besar akan meningkat dari RM14175.15 kepada RM29,250, bagi exco dari RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker, dari RM6,109.29 kepada RM22,500, timbalan speaker, dari RM3,327.50 kepada RM15,750 dan Adun dari RM6,000 kepada RM11,250.
Ia dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini dan diluluskan.
Pemimpin PKR termasuk Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalan presiden yang juga Pengerusi PKR Selangor, Mohamed Azmin Ali meminta agar ianya dikaji semula kerana kadar kenaikan terlalu tinggi.
Khalid berkata, PR tidak pernah dibawa berbincang secara terperinci mengenainya, hanya dimaklumkan kajian tentang kenaikan gaji itu sahaja beberapa hari sebelum diluluskan.
"Kami sedang menimbangkan pelbagai perkara mengenai hal ini sama ada meneruskannya atau mengkaji balik," kata Khalid.
Beliau berkata, pihaknya juga mempertimbang cadangan agar gaji ini dikekalkan namun potongan dibuat kepadanya untuk diserahkan secara tetap kepada mana-mana badan untuk kepentingan rakyat Selangor.
"Kita juga kaji mungkin ia dipotong dan diserahkan kepada mana-mana yayasan untuk kepentingan rakyat Selangor," katanya.
Menteri Besar Selangor semalam berkata, pihaknya tidak akan menurunkan kadar gaji anggota pentadbiran dan Adun Selangor kerana sudah diluluskan semasa sidang DUN tanpa sebarang bantahan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan