Anthony Loke  
 
Anthony Loke


SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini, semalam menolak dengan kos saman fitnah RM5 juta oleh Pengerusi DAP negeri, Anthony Loke terhadap dua pemimpin MCA negeri atas dakwaan fitnah, Februari tahun lalu.

Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof memerintahkan Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban membayar RM35,000 kepada kedua-dua defendan iaitu Setiausaha MCA negeri, Datuk Lim Fui Ming dan Timbalannya, Jason Lee Kee Chong.

Terdahulu, Loke selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan kerana didakwa memfitnah beliau dalam satu artikel yang disiarkan dalam akhbar Guang Ming pada 24 Februari tahun lalu.

Beliau mendakwa kedua-dua defendan memfitnah dirinya dengan menuduh plaintif tidak berhati perut dan mementingkan diri sendiri kerana tidak membantu abangnya yang dibebani hutang.

Berikutan itu, Loke menuntut RM3 juta sebagai ganti rugi am, RM2 juta untuk ganti rugi teladan dan satu perintah menghalang defendan mengulangi dakwaan tersebut.

Bagaimanapun, Zabariah berkata, walaupun kandungan artikel berkenaan adalah fitnah kepada Loke, namun plaintif gagal membuktikan bahawa kenyataan tersebut telah dibuat kedua-dua defendan.

Mahkamah juga menolak dakwaan plaintif yang mendakwa defendan berkomplot untuk memfitnahnya, sedangkan mereka tidak mempunyai pengetahuan berhubung artikel berkenaan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan Loke membayar kos keseluruhan sebanyak RM70,000  kepada kedua-dua defendan.