VIDEO l 1:56 minit 


PKR hari ini mempersoalkan sama ada politik menjadi punca kegagalan negeri Selangor menerima sebarang dana dari Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) berjumlah RM500 juta yang diperuntukkan kerajaan Persekutuan bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

Dana itu sepatutnya disalur kepada pangsapuri kos rendah dan kos sederhana rendah tetapi Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) mendakwa, tiada satu pun flat kos rendah di Selangor diberikan kelulusan untuk menerima dana itu.

Sementara di Pulau Pinang pula, katanya, hanya empat daripada 119 permohonan dana diluluskan.

Pulau Pinang dan Selangor adalah negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

"Menakjubkan apabila tiada satu projek pun diluluskan di Selangor. Selangor dan Pulau Pinang mempunyai kepadatan rumah pangsa kos rendah dan sederhana rendah yang tinggi," kata Sim pada sidang media di perkarangan Parlimen pagi tadi.

"Maka timbul persoalan, adakah terdapat unsur pilih kasih atau pertimbangan politik dalam pemberian TP1M?" soal Sim lagi.

Tambahnya, agihan peruntukan dari dana itu juga tidak adil kepada negeri di luar Kuala Lumpur (KL) kerana KL menerima 74 peratus daripada RM40 juta daripada dana itu pada 2013.

Menurutnya, KL juga mempunyai kadar kelulusan projek sebanyak 62 peratus diikuti Johor dan Perak dengan kadar kelulusan sebanyak 12 peratus setiap negeri, katanya memetik jawapan bertulis Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sim turut membangkitkan yang RM500 juta yang diperuntukkan untuk program itu di bawah Rancangan Malaysia ke-10 akan berakhir dalam tahun 2015 namun sehingga kini hanya RM40 juta dibelanjakan dalam tahun 2013.

Menurutnya, Belanjawan 2014 tidak menyebut tentang peruntukan berkenaan dan beliau kini tertanya-tanya bila baki RM460 juta daripada dana itu akan digunakan.