shahbudindotcom
Isu kenaikan gaji anggota pentadbiran dan Adun Negeri Selangor yang menjadi perbualan hangat kini akhirnya menyerlahkan sikap "talam dua muka" sebahagian wakil rakyat negeri itu. Tidak saja Adun BN yang didapati bersikap demikian, bahkan Adun daripada PR juga nampaknya bersikap sama.
Dalam perbahasan mengenai kenaikan gaji itu, sehingga bacaan kali ketiga, semua Adun bersetuju dengannya. Perkara ini didedahkan oleh Exco Selangor, Teng Chang Khim.
Yang paling menonjol bersikap demikian ialah Pengerusi PKR, Azmin Ali yang dilaporkan berada di dalam Dewan ketika perbahasan mengenai kenaikan gaji itu tetapi hanya berdiam diri dan tidak membantah apa-apa, namun apabila menyedari isu menjadi perbualan ramai, beliau mengambil sikap menentangnya dan meminta kerajaan negeri menangguhkannya.
Beberapa Adun BN juga turut mempertikaikan kenaikan gaji yang melibatkan Menteri Besar, Exco, Speaker dan Timbalan Speaker tetapi tetapi seolah-olah bersetuju dengan kenaikan gaji Adun atas alasan bebanan kerja yang semakin bertambah sekarang ini.
Malangnya, semua Adun BN ini bersetuja ketika rang undang-undang mengenainya dibentangkan dan tidak ada seorang pun yang membantah. Kalaulah isu ini tidak timbul, pastilah tidak akan terdedah sikap mereka itu.
Ini menjadikan, sehingga bacaan kali ketiga dilakukan, sokongan yang diperolehi adalah 100 peratus.
Menteri Besar, Khalid Ibrahim semalam menegaskan, kenaikan gaji itu akan tetap dilaksanakan sebagaimana yang dirancang dan tidak akan ditangguhkan, malahan mencadangkan kepada sesiapa yang tidak bersetuju dengannya agar jangan menerima kenaikan itu dan menyerahkan lebihan gaji itu kepada mana-mana badan kebajikan.
Pada mulanya, ramai yang menganggap respon Khalid itu sebagai tidak wajar, kasar serta tidak mencerminkan budi bahasa seorang yang memegang jawatan Menteri Besar.
Namun demikian, berdasarkan rentetan kejadian yang lebih memperlihatkan sikap "talam dua muka" mereka yang membantah itu, saranan Khalid itu sebenarnya amat wajar dan tepat sekali. Jika mereka rasa bersalah dengan kenaikan gaji itu, eloklah serahkan saja lebihan kenaikan gaji itu kepada mana-mana badan kebajikan, bahkan boleh juga diserahkan kepada mana-mana masjid dan surau di negeri Selangor ini.
Kerajaan negeri juga, menurut Teng Chang Khim lagi, turut menyediakan borang jika ada mana-mana Adun yang berhasrat mahu menyumbangkan lebihan kenaikan gaji ini kepada mana-mana badan kebajikan. Bagaimanapun sehingga ini dilaporkan hanya Adun Sekinchan, Ng Suee Lim yang menandatangani surat untuk menyerahkan lebihan gajinya kepada badan kebajikan.
Adalah wajar Adun yang mempertikaikan kenaikan gaji ini segera menandatangani surat tersebut dan mencontohi tindakan Adun Sekinchan yang dilihat amat bertanggungjawab. Walaupun tidak bising di media, tetapi atas rasa tanggungjawab kerana kenaikan gaji ini telah menjadi isu, beliau telah menandatangani surat kebenaran itu.
Azmin, lain-lain Adun PR yang tidak setuju serta juga Adun BN sewajarnya tidak berlengah lagi untuk menandatangani surat kebenaran itu. Tidak guna terus berlengah dan menunjukkan wajah talam dua muka kepada rakyat kerana jika mereka merasa berdosa lantaran menyokong kenaikan itu, ia mungkin dapat ditebus dengan menunjukkan sikap budiman dan menyerahkannya kepada badan kebajikan, surau atau pun masjid.
Jika terasa amat bersalah juga kerana menyokong kenaikan gaji, mereka bukan saja boleh menyerahkan lebihan gaji kepada mana-mana badan kebajikan, surau dan masjid, bahkan boleh juga melakukannya terhadap wang pencen yang bakal diterima selepas tidak lagi menjadi wakil rakyat nanti.
Kalau mahu kenaikan gaji itu, mereka harus jujur dengannya dan kalau menolaknya, haruslah juga jujur. Tidak ada sikap bermuka-muka dan bersikap talam dua muka dalam diri seseorang yang menggelarkan dirinya pejuang.
Mudah-mudahan dengan cara ini juga, mereka yang terbabit beroleh kedamaian hidup di dunia dan akhirat hendaknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan