MRT  
 
MRT


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) bagi mendapatkan penghakiman terus dalam kes saman mereka terhadap projek Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).

Hakim Rosilah Yop menolak permohonan itu dalam kamar dengan kos RM10,000.

Penduduk berkenaan memohon mahkamah melupuskan kes saman itu mengikut Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 berdasarkan penentuan persoalan undang-undang
tanpa mendengar perbicaraan penuh.

Ho Lee Yoke, 55, dan 11 penduduk lain memfailkan saman itu pada Februari lepas.

Penyataan tuntutan penduduk terbabit, yang memiliki rumah teres di sepanjang Jalan Pinggir Zaaba, mendakwa MRT Corp bertanggungjawab memastikan projek itu dilaksanakan mengikut undang-undang.

Antara lain, penduduk berkenaan menuntut satu pengisytiharan bahawa projek itu adalah tidak sah dan salah di sisi undang-undang dan dengan itu, mereka layak mendapat pampasan.

Sebagai alternatif, mereka menuntut ganti rugi am dan saksama dan juga ganti rugi khas RM22,000. - Bernama