Isu hamba: Putus tunang, pilih haluan kiri   
 
Shamsuri ketika ditemuramah media di Kampung Belai Hulu, Jelebu semalam.


JELEBU  – “Bila pertama kali berita wanita Malaysia menjadi hamba di London disiarkan, saya terdetik itu mungkin Aishah,” kata Shamsuri Abd Wahab, 60, adik kepada bekas tunang Siti Aishah Abdul Wahab, 69, yang hilang selepas melanjutkan pelajaran di United Kingdom (UK) pada 1968.

Siti Aishah sebelum melanjutkan pelajaran di UK pernah bertunang dengan seorang lelaki dari daerah ini dikenali sebagai Omar Munir, 70, namun tidak berpanjangan dipercayai disebabkan wanita terbabit memilih jalan untuk terus bersama kumpulan ideologi berhaluan kiri di sana.

Menurut Shamsuri, dia hanya mengenali  Aishah sebagai tunang abangnya dan kali terakhir berjumpa dengan wanita terbabit ketika mengikuti rombongan meminang ke rumah keluarganya di Kampung Gedung Lalang, Ampangan, Seremban.

“Ketika itu saya berumur 14 tahun dan saya mengenali Aishah sebagai seorang yang lemah lembut dan bersopan santun.

“Tapi selepas beberapa bulan bertunang, abang saya mendapat tajaan biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk melanjutkan pelajaran ke London dan dia pergi dahulu disusuli Siti Aishah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Belai Hulu, Jelebu di sini, semalam.

Shamsuri berkata, selepas abangnya tamat pengajian dan pulang ke negara ini, dia memberitahu keluarga bahawa mereka sudah putus tunang.
Malah, keluarga juga difahamkan oleh Omar bahawa Aishah telah hilang dan gagal untuk dikesan.

“Kalau tahu abang dan Aishah dapat belajar di negara sama, memang keluarga mahu nikahkan mereka dari awal, tapi tidak sangka pula jodoh mereka tidak berpanjangan.

“Selepas mereka ke UK, saya tidak tahu lagi tentang abang dan Aishah kerana ketika itu saya masih bersekolah. Cuma saya ingat selepas tiga atau lima tahun abang menamatkan pengajian di sana, dia pulang memberitahu sudah putus tunang,” katanya.

Shamsuri bagaimanapun berkata, dia tidak mengetahui punca sebenar mengapa mereka putus tunang.

“Selepas tamat belajar abang saya bekerja di sebuah kolej di Kuala Lumpur dan bertemu jodoh di sana.

“Sejak itu saya pun tidak dengar lagi pasal Aishah sehinggalah laporan berita tentang wanita Malaysia menjadi hamba selama 30 tahun di London disiarkan dan mengesahkan pula dia adalah Aishah,” katanya yang memberitahu abangnya kini berada di Kuala Lumpur.

Menurutnya, walaupun Aishah bukan ahli keluarganya, namun menjadi harapannya juga untuk bertemu dengan wanita terbabit yang dikenalinya.

“Kalau boleh, saya pun mahu jumpa dengan Siti Aishah sama seperti ahli keluarganya yang lain. Lagipun dia satu kampung dengan saya dan kami saling mengenali,” katanya.