HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 November 2013

Pemimpin PKR tidak dibeli, kata Tawfiq

 
Jika mereka mahu dibeli, lebih baik beli mereka sewaktu PRU ke 13 kerana ketika itu nilai mereka melambung tinggi. 




KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar (gambar) menafikan para pemimpin PKR Sabah yang mengisytiharkan keluar parti tersebut dua hari lalu dibeli oleh pihak Barisan Nasional (BN).

Katanya, mereka keluar dari PKR di atas kesedaran mereka sendiri dan mereka bukannya dibeli.

“Mereka keluar dari PKR kerana bosan dengan kepimpinan parti itu yang tidak mementingkan pejuang asal parti sebaliknya melantik orang baru seperti Datuk Lajim Okin sebagai Pengerusi PKR Sabah,” kata beliau kepada FMT mengulas PKR Sabah yang hampir lumpuh selepas para pemimpin utama daripada 11 cabang parti di negeri itu mengisytiharkan keluar parti sekali gus menyatakan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).

Dua hari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mereka membuat keputusan itu kerana sudah hilang keyakinan terhadap kepemimpinan PKR dan seterusnya memberi kepercayaan kepada BN di peringkat nasional mahu pun negeri.

Katanya, sebelum ini, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu telah pun berbuat demikian iaitu ADUN Kadamaian, Jeremmy Malajad @ Malazad dan ADUN Matunggong, Datuk Jelani Hamdan pada 4 November lalu.

Beliau turut mengumumkan akan berlaku gelombang kedua ahli PKR dari negeri tersebut keluar parti dalam masa terdekat.

“Mereka merupakan pemimpin peringkat bahagian dan saya dimaklumkan oleh mereka sendiri, ramai penyokong parti itu akan turut serta keluar PKR dan menyokong BN.

“Saya juga ingin memaklumkan akan berlaku gelombang kedua iaitu ramai lagi pemimpin PKR Sabah bakal berbuat demikian, bererti PKR Sabah hampir lumpuh, sebaliknya BN kuat dan utuh serta semakin mendapat kepercayaan daripada rakyat Sabah,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian selepas pertemuan khas dengan pemimpin terlibat di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Pemimpin yang terlibat itu ialah Akhmain Sabtu (Kudat); Anthony Mandiau (Kota Marudu); Juhani Abd. Halim (Silam); Mohd. Jun (Kalabakan); Mustapha Tambuyung (Kinabatangan) dan Lokman Ureh (Semporna).

Selain mereka ialah Angki Addek (Timbalan Ketua Cabang Kota Marudu); Soloh Yuna (Ketua Penerangan Kota Belud); Timothy Lim (Sepanggar); Apandy Sipin (Pensiangan) dan Aris Remigius (Batu Sapi). Wakil Beluran bagaimanapun tidak hadir.

Dua lagi yang turut sama mengisytiharkan keluar parti pada majlis itu ialah bekas Ahli Parlimen Bandau, Henry Madatang dan calon PKR Papar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Jomi Kamadan.

Menurut Tawfiq yang juga bekas calon ahli majlis tertinggi Umno, jika mereka mahu dibeli, lebih baik beli mereka sewaktu PRU ke 13 kerana ketika itu nilai mereka melambung tinggi.

“Sebaliknya mereka insaf bahawa perjuangan mereka tidak dihargai oleh pucuk pimpinan parti PKR, maka lebih baik mereka kembali menyokong BN, “ tambahnya lagi.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Tawau menyeru semua penyokong PKR kembali ke pangkal jalan kerana menurutnya hanya BN sahaja yang dapat membawa pembangunan kepada rakyat Sabah.

Tiada ulasan: