VIDEO l 2:27 minit


Anggota Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar berkata usul beliau untuk mengutuk  Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) yang ditolak untuk dibahaskan di Dewan Rakyat pagi tadi, merupakan langkah pertama untuk muzakarah di antara PAS dan Umno.

NONEMenurutnya, perkara yang cuba dijuarai Comango dilihat mencabar kedudukan Islam di negara ini dan ia boleh menjadi asas kepada perbincangan di antara dua parti itu.

"Orang bercakap tentang muzakarah. Saya rasa ini boleh jadi langkah pertama untuk muzakarah di antara PAS dan Umno," katanya.

Beliau menegaskan demikian dalam satu sidang media selepas usulnya itu ditolak Timbalan Yang Dipertua Dewan, Datuk Ronald Kiandee atas alasan ia tidak perlu disegerakan.

Noh sebelum itu membentangkan usul berkenaan di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1).
 "Tuntutan Comango ini secara spesifiknya mendesak Seksyen 377A Kanun Keseksaan berkaitan jenayah liwat dan enakmen-enakmen jenayah syariah yang bertujuan menyekat gejala LGBT, murtad serta penyebaran Syiah dimansuhkan.

"Tuntutan ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan selaras dengan artikel 3(1) dan 11(4) Perlembagaan Persekutuan dan mencampuri urusan agama serta mencabar kemuliaan umat Islam," katanya sewaktu membentangkan usul itu.

"Selain dari NGO, parti-parti politik juga telah memberi suara mereka menolak tuntutan Comango ini, seperti presiden PAS pada muktamar baru-baru ini," katanya lagi di dalam Dewan Rakyat.