SEKIRANYA masih ada dalam kalangan kita yang ragu-ragu untuk menyertai Himpunan 1 Mei nanti dengan persepsi bahawa tindakan itu tetap tidak akan menghalang kerakusan rejim Umno-BN ‘merompak’ rakyat, maka fikirkan sekali lagi.
Himpunan Bersih pada 10 November 2007 bagi menuntut proses pilihan raya yang adil dan bersih menjadi antara faktor penting tumbangnya rejim Umno-BN di beberapa buah negeri selain majoriti dua pertiga di Parlimen dinafikan.
Kemudian, Himpunan Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1 Ogos 2009 di Kuala Lumpur dengan objektif menyerahkan memorandum pemansuhan akta zalim itu kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menyaksikan pemerintah terpaksa akur.
Itu hanyalah dua contoh biasa yang membuktikan bahawa himpunan yang dilakukan dengan penyertaan yang besar oleh rakyat mampu mengubah pendirian kerajaan walaupun pada masa yang sama media massanya, ahli akademik pro-Umno-BN dan para menteri sebelum itu menyokong segala tindakan kerajaan.
Ketika rakyat sudah semakin matang menunjukkan rasa tidak puas hatinya melalui himpunan di jalan raya, pihak yang berkecenderungan kepada Umno-BN juga mengambil kaedah yang sama tetapi dengan tindakan yang cukup menggelikan hati dan memalukan.
Pastinya rakyat masih belum lupa aksi lucah sekumpulan bekas tentera dari Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) yang mengadakan ‘senaman punggung’ di hadapan kediaman Dato’ S Ambiga pada Berhimpun lawan kebobrokan Najib 15 Mei 2012.
Presidennya, Mohd Ali Baharom yang sering muncul dalam media bagi membela isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mendakwa senaman keji itu adalah bantahan terhadap Himpunan Bersih 3.0.
Tidak cukup dengan itu, pada Februari lalu, sekumpulan NGO yang mendakwa dari ‘Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia’ pula bertindak zalim dengan menyembelih empat ekor ayam sebelum melumur darah tersebut ke atas kain rentang yang tertera wajah pimpinan DAP dan KeADILan kerana marah apabila Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dijadikan lawak jenaka dalam isu ‘kangkung’ turun harga.
Terbaharu, adalah aksi Najib pada 20 April lalu yang mengetuai larian sejauh tiga kilometer bersama 3,000 orang kononnya sebagai komitmen membanteras rasuah yang dianjurkan parti Gerakan.
Umumnya, masyarakat masih belum mampu memahami bagaimana acara larian itu mempunyai kaitannya dengan jenayah rasuah.
Walaupun dianggap sebagai simbolik semata-mata tetapi kaedah itu memang cukup menggelikan hati.
Namun begitu, tidakkah selepas kita meneliti semua aksi menjengkelkan dari Umno-BN ini, jelas mereka pun bersetuju bahawa jalan raya atau ruang awam adalah kawasan paling sesuai untuk menunjuk rasa baik secara positif atau negatif walaupun sebelum ini Najib jugalah yang berhujah kononnya demonstrasi bukan budaya kita.
Sebenarnya, tidak ada negara dalam dunia yang boleh menafikan bahawa himpunan di jalan raya memang cara paling sesuai untuk rakyat dengan hanya bertangan kosong mengajar kebobrokan dasar kerajaan yang menindas golongan marhaen.
Catatan sejarah, walau di mana juga, memang meletakkan himpunan atau demonstrasi sebagai budaya dan tradisi paling popular untuk golongan mustadh’afin melakukan kebangkitan menentang rejim pemerintah atau golongan pemodal dan ternyata kebanyakannya mencapai kemenangan.
Revolusi rakyat Sejarah Eropah turut mencatatkan bagaimana revolusi rakyat yang terbentuk akibat penindasan oleh golongan Borjouis melebar ke banyak wilayah sehingga memberikan kesan besar bukan sahaja terhadap Eropah tetapi juga peradaban moden.
Dalam tahun ini pula, secara terpinggir, tradisi ini terus dipamerkan oleh rakyat Brazil yang membantah tindakan kerajaannya yang menjadi penganjur Piala Dunia pada Julai nanti dengan alasan begitu banyak perbendaharaan negara dihabiskan sehingga memberi kesan terhadap kesihatan awam, pendidikan dan pengangkutan.
Kadang-kadang ada dalam kalangan kita berhujah bahawa kebangkitan sukar berlaku dalam kalangan orang Melayu kerana kuat dikuasai oleh sikap budi dan santunnya yang tebal sehingga ada pimpinan Pakatan Rakyat yang bingung mencari idea untuk memastikan bangsa ini mampu bangkit.
Jika ini isunya, apa yang berlaku di Indonesia mungkin boleh dijadikan cerminan bahawa orang Melayu masih mampu bangkit mencipta sejarah dan membentuk masa depan negara dan bangsa yang lebih baik.
Gerakan Reformasi di Indonesia pada 1998 berjaya menumbangkan diktator Soeharto sebagai presiden dan kesannya, negara republik itu sekarang menjadi salah sebuah negara ASEAN yang cukup disegani dunia selain mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan.
Jika ada yang mengatakan orang Melayu sebenarnya masih malu-malu untuk menumbangkan kerajaan, apakah bangsa di Indonesia itu bukan sama jenisnya dengan kita di Malaysia? Masalah selepas demonstrasi memang tetap berlaku tetapi itu adalah sebuah proses kepada struktur pentadbiran yang lebih baik.
Dengan kemampuan rakyat untuk bangkit berdemonstrasi, bukan sahaja pemerintah menjadi patuh dengan suara keramat rakyat, bahkan lebih banyak manfaat boleh dipulangkan semula kepada rakyat kerana kerajaan semakin sedar bahawa rakyat adalah tuan dalam negara ini.
Hakikatnya, bangsa Melayu khususnya bukanlah terlalu lemah untuk disedarkan tetapi propaganda Umno-BN melalui jentera medianya menyebabkan golongan ini sukar untuk membentuk pandangan yang lebih kukuh apatah lagi dengan tingkat pendapatan yang sederhana sahaja sifatnya, mereka bukanlah penyumbang utama cukai kepada negara.
Mungkin inilah sebabnya mereka kurang merasai denyut kesusahan yang terpaksa rakyat tanggung selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada tahun hadapan.
Berbeza pula dengan sikap bangsa Cina, seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang menjelaskan bahawa bangsa ini mempunyai pandangan yang jelas terhadap GST.
Hal ini kerana sebagai bangsa yang berniaga dan penyumbang besar kepada cukai negara, mereka cukup teliti terhadap setiap berita ketirisan, rasuah dan penyelewengan kuasa dan wang rakyat dalam Laporan Audit Negara.
Nampaknya masa sudah semakin singkat untuk kita bersama-sama menyatakan bantahan terhadap GST.
Momentum kebangkitan rakyat mesti diangkat semula, halatuju negara dan ‘peperangan’ terhadap dasar zalim rejim Umno-BN mesti dikumandangkan semula.
Bangkit, jadikan 1 Mei sebagai saksi keramat kuasa rakyat!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan