HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 April 2014

Hafiz muda bercita-cita jadi doktor orthopedik

HARAKAHDAILY
 

BANTING: Selesai menghafaz al-Quran dalam usia muda tidak menghalang para pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Istana Bandar (MITIB) dekat sini untuk terus menuntut ilmu dan memasang cita-cita tinggi.

Dengan didikan seimbang di bidang hafazan, agama dan akademik, para pelajar MITIB berpotensi besar menjadi seorang hafiz profesional yang mampu menjadi ejen pengislah masyarakat dan negara.

Kecemerlangan yang dicapai para pelajar MITIB di bidang akademik cukup membanggakan apabila dinobatkan sebagai sekolah terbaik daerah Kuala Langat dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) 2010.

Seramai 56 pelajarnya memperolehi 9A dalam PMR 2011.

MITIB juga meraih keputusan terbaik seluruh Selangor bagi peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) 2012 apabila 99 peratus calonnya memperolehi keputusan Mumtaz bagi keseluruhan subjek.

Bagi SPM2013, 12 pelajarnya memperolehi 11A, 8 pelajar (10A), 7 pelajar (9A), 11 pelajar (8A) dan 9 pelajar (7A).

Apa yang lebih membanggakan, 11 daripada 12 pelajar yang meraih A dalam semua matapelajaran SPM 2013 sudah bergelar hafiz.

Mohamad Hazman Akmal Norazman, 17, (gambar) berasal daripada Kampung Datuk Abu Bakar baginda, Bangi.

Anak sulung daripada 5 adik beradik ini memilih MITIB kerana mahukan institusi pendidikan yang menggabungkan pelajaran al-Quran dan sains.

Anak pasangan pembantu tadbir dan eksekutif di Pharmaniaga ini mengakui teruja dengan beberapa hadis Rasulullah s.a.w. yang mengisahkan kelebihan seorang hafiz.

"Ibu juga beri galakan kepada saya untuk menjadi seorang doktor pakar orthopedik," kata Hazman ketika diwawancara Harakahdaily.

Beliau memperolehi 8A dan 1B dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan telah tamat menghafaz 30 juzuk al-Quran pada Mei 2012 ketika berada dalam tingkatan 3.

Hazman berkata, pihak sekolah telah menyusun jadual pembelajaran dengan baik bagi memastikan pelajar mampu menghafaz al-Quran dan mengikuti pelajaran agama dan akademik.

Mengungkap rahsia untuk bergelar hafiz, Hazman mengakui mengulang tiga atau empat juzuk al-Quran dalam masa dua jam di kelas tasmi'.

Sesi hafazan adalah pada jam 7.40 pagi hingga 9.40 pagi dan selepas solat maghrib hingga jam 9.00 malam.

Seorang lagi pelajar MITIB, Nur Syifa' Mohd Fuad bercita-cita untuk menjadi doktor pakar bedah.
Sudahpun bergelar Hafizah ketika berusia 15 tahun, pelajar yang berasal dari Seksyen 20, Shah Alam ini ialah anak kepada pasangan juruteknik dan guru.

Anak sulung dua beradik ini mengakui memilih mengikuti pengajian di MITIB kerana ingin menguasai bidang hafazan dan akademik.

Walaupun mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah berasrama penuh, beliau memilih MITIB kerana kelebihan yang diperolehi seorang penghafaz al-Quran dan "mahu menghadiah ibu dan ayah mahkota di akhirat kelak".

Cita-cita Nur Syifa' (gambar) termakbul apabila selesai menghafaz 30 juzuk al-Quran pada 17 Mac 2012. Malah beliau membuktikan kecemerlangan dalam akademik apabila memperolehi 9A dalam PMR di tahun yang sama.

Menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian di Republik Ireland dalam bidang perubatan, Nur Syifa' juga aktif dalam sukan berenang dan memanah.

Kunci kejayaannya adalah "meletakkan sesuatu pada masanya" dan tidak membuang masa.

Beliau akan menumpukan perhatian pada hafazan di masa hafazan dan mengulangkaji pelajaran antara jam 10.30 hingga 11.30 malam.

"Saya juga sering mendapat bantuan guru-guru untuk mengulangkaji," katanya.

Tiada ulasan: