Pulau Nangka


MELAKA – Persoalan tentang kewujudan harta karun peninggalan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit di Pulau Nangka bakal diketahui esok.
        
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek Negeri Melaka, Datuk Abdul Ghafaar Atan, kerja-kerja mengorek lubang di tiga kawasan Pulau Nangka hanya berbaki kira-kira 10 peratus lagi.
    
Katanya, sekiranya tiada aral melintang, persoalan mengenai harta dapat diketahui sebaik saja pintu masuk utama menghubungkan kesemua bilik dimaksudkan berjaya dibuka kontraktor dilantik, Smart Partnership International (M) Sdn Bhd.

Beliau berkata, salah satu kawasan itu merupakan pintu masuk ke dalam gua dan syarikat terbabit mempunyai baki dua hari untuk menyelesaikan tugas mereka sebelum kontraktor baharu mengambil alih tugas.

“Mereka sudah melakukan pengimbasan. Kawasan itu paling mudah untuk masuk kerana ia batu dan runtuhan tanah tidak akan berlaku.

“Setakat ini, mereka sudah menebuk sedalam lima meter. Bagaimanapun mereka terpaksa melakukan kerja pembersihan terlebih dulu sebelum membolehkan pintu masuk ke gua ditemui kerana kawasan itu dipenuh air dan tanah," katanya ketika membuat lawatan ke Pulau Nangka, semalam.

Lawatan turut disertai Exco Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan NGO negeri, Datuk MS Mahadevan dan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Ghafar berkata, Kerajaan Negeri Melaka akan mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh lantikan Smart Partnership sekiranya harta itu ditemui esok, bagi membolehkan ia dibawa keluar.

"Tapi, sekiranya gagal, tempoh perjanjian ditetapkan Perzim harus dipatuhi bagi membolehkan pihak lain menjalankan tugas terbabit," katanya yang menjelaskan usaha pencarian dipantau dari masa ke semasa oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, Abdul Ghafaar berkata, harta karun itu dipercayai wujud selepas melihat foto daripada mereka yang pernah memasuki gua berkenaan, selain berdasarkan kisah sejarah Kesultanan Melayu Melaka.

"Bagaimanapun, harta terbabit amat sukar diambil biarpun usaha pencarian dilakukan sejak 30 tahun dahulu berikutan ia memerlukan peralatan moden berteknologi tinggi," katanya.