HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 April 2014

Hudud tidak dilaksanakan dulu kerana bimbang Mageran di Kelantan, kata Nik Aziz

THE MALAYSIAN INSIDER


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menziarah Musyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di rumahnya di Pulau Melaka, Kelantan, Ahad lalu.Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menziarah Musyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di rumahnya di Pulau Melaka, Kelantan, Ahad lalu.



























Bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak melaksanakan hudud semasa pemerintahannya di negeri tersebut kerana takut kerajaan pusat akan melaksanakan Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Beliau berkata, surat yang dihantar oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada masa itu memberikan amaran yang jelas mengenainya.

“Saya amat bimbang kalau-kalau akan berlakunya Mageran sebab itu saya tidak melaksanakannya selepas menerima surat amaran daripada perdana menteri,” katanya merujuk kepada surat Dr Mahathir kepadanya supaya jangan melaksanakan hudud.

Surat itu dihantar pada 15 Julai 1994 oleh Dr Mahathir ketika Nik Aziz adalah menteri besar Kelantan selepas Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II (Hudud).

Antara lain surat itu berbunyi: “Kerajaan pusat tidak dapat membenarkan kerajaan PAS menjalankan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip keadilan Islam, maka kerajaan pusat akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam.”

Mageran adalah badan pentadbiran negara yang diwujudkan pada zaman darurat dan pernah dibuat di Kelantan di mana kuasa kerajaan negeri PAS diambil alih oleh kerajaan pusat.

Kini isu hudud timbul kembali selepas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memaklumkan pihaknya akan membawa rang undang-undang persendirian ke Dewan Rakyat bagi membolehkan hudud dilaksanakan di negeri itu.

Keputusan itu dibuat susulan jaminan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom yang menyatakan kerajaan pusat akan membantu mana-mana negeri yang mahu melaksanakan undang-undang Islam itu.

Beberapa hari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengunjungi Nik Aziz di rumahnya dekat Pulau Melaka dan mencadangkan agar satu jawatankuasa bersama dibentuk bagi mengkaji undang-undang itu.

“Saya amat gembira dengan perkembangan semasa berkaitan hudud sekarang. Saya tidak mahu sentuh banyak soal teknikal kerana ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Cuma saya sentuh soal dasar sahaja. Alhamdulillah hati saya cukup tenang sehari dua ini, banyak berita baik yang saya terima dan insya-Allah masyarakat juga menerimanya dengan baik,” kata Nik Aziz seperti dilaporkan Harakahdaily.

Nik Aziz berkata, beliau tenang kerana semua ini berlaku ketika ini walaupun perdana menteri sebelum ini bersungguh-sungguh menentang pelaksanan hudud di Kelantan.

Katanya, beliau juga menyokong cadangan diwujudkan Jawatankuasa Teknikal melibatkan pelbagai pihak yang pakar dalam bidang perundangan Islam.

Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Datuk Hassan Mohamood turut menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Khas Teknikal Hudud peringkat pusat bagi membolehkan ia dilaksanakan di Kelantan.

Sementara itu Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr Asraf Wajdi Dasuki, berkata tidak salah Kelantan menjadi negeri perintis melaksanakan undang-undang syariah itu ketika kerajaan Barisan Nasional kelihatan lebih terbuka sekarang.

Tiada ulasan: