HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 April 2014

38% pekerja gaji bawah RM860, cukai GST tambah beban

KEADILAN DAILY

Mei_1_anti_GST 
KUALA LUMPUR: Ketika cukai barang & perkhidmatan (GST) diperkenalkan, kira-kira 38% rakyat di negara ini yang berpendapatan bulanan di bawah garis kemiskinan, iaitu RM860 sebulan, menurut jawatankuasa Himpunan Bantah GST 1 Mei 2014.

Kenyataan gabungan turut memetik fakta Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz bahawa hutang isi rumah di Malaysia adalah 83% daripada Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tertinggi di Asia berbanding dengan Singapura (67%) dan Hong Kong (58%).

“38 peratus rakyat masih menerima gaji di bawah paras kemiskinan iaitu RM860. Pelaksanaan Gaji Minima RM900 masih menjadi dilema.

“Dalam keadaan ini, apakah nasib rakyat jika cukai GST dilaksanakan?, kenyataan gabungan 95 pertubuhan ‘Bantah GST’ dipetik.

Tambahnya, cukai GST menyebabkan semua harga barangan dan bayaran perkhidmatan naik, walaupun kerajaan kononnya mengecualikan 40 jenis barangan asas.

Menurut gabungan tersebut, kerajaan mengurangkan cukai korporat dari 40 peratus pada tahun 1980-an kepada 26 peratus, sebaliknya menggadaikan masa depan rakyat dengan pelaksnaan GST.

Himpunan Bantah GST Sampai Tumbang Hari Pekerja 1 Mei 2014Dalam pada itu, jawatankuasa Himpunan Bantah GST turut melancarkan deklarasi 15 tuntutan yang disokong 95 pertubuhan dari seluruh negara.

Penganjur himpunan sebelum ini tidak berganjak dari cadangan asal untuk berkumpul di Dataran Merdeka.

KEADILAN sebelum ini menyatakan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan 25 April lalu membebaskan Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dari dakwaan dibawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (PPA) adalah bukti himpunan 1 Mei depan wajar dibenarkan.

Himpunan Bantah GST 1 Mei akan bermula dan dipimpin beberapa organisasi antaranya dari KLCC (NGO), Sogo (Angkatan Muda KEADILAN), Masjid Negara (Pemuda Pas), Jalan Sultan/Dataran Maybank (pimpinan nasional Pakatan Rakyat)

Kumpulan dari semua lokasi bergerak ke Dataran Merdeka secara serentak bermula jam 2 petang.

Tiada ulasan: