HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 April 2014

MCA: Hudud juga bukan konsensus BN

MALAYSIAKINI


Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon hari ini mengisytiharkan bahawa BN juga tidak mempunyai konsensus mengenai undang-undang hudud dan oleh itu, parti pemerintah hendaklah berhenti membangkitkan isu tersebut.

Kenyataan Chong itu dibuat selepas ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke mencadangkan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat jika ia mahu memecahkan konsensus gabungan itu dan meneruskan pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.

Chong menyifatkan gesaan Loke itu sebagai "tindakan yang betul dan mulia" dan menggesa pemimpin Pakatan yang lain dalam PKR dan DAP supaya mengambil pendirian yang sama.

Dalam nada yang sama, katanya, Pemuda MCA ingin merakamkan bahawa "ia bukan dan tidak akan" menjadi konsensus BN untuk melaksanakan hudud.

Menurutnya, konsesus (menolak undang-undang hudud ) telah dicapai oleh parti-parti teras komponen BN - Umno, MCA dan MIC - pada tahun-tahun awal Malaysia di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman seperti yang ditunjukkan melalui Memorandum Perikatan yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Reid pada tahun 1956 .

Dalam satu kenyataan, Chong berkata, ia kekal menjadi konsensus, semangat dan prinsip yang akan didukung oleh BN.

Chong menggesa pemimpin BN dan Pakatan supaya tidak lagi membangkitkan isu hudud.

Tiada ulasan: