HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 April 2014

Hudud: Setuju pelihara keharmonian dalam Pakatan Rakyat

NAZRI ABDULLAH
 

KUALA LUMPUR: Pertemuan antara PAS, PKR dan DAP di Pejabat Agung PAS semalam menyaksikan ketiga-tiga parti bersetuju untuk terus menjaga keharmonian dalam Pakatan Rakyat sekalipun berdepan isu Hudud.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali (gambar), berkata pertemuan khas antara ketiga-tiga parti dengan wakil kerajaan Kelantan itu, berlangsung dalam keadaan cukup harmoni.

"Ia satu penerangan yang sangat baik. Masing-masing telah mengutarakan pandangan mengikut perspektif masing-masing.

"Semua wakil ketiga-tiga parti mengutarakan pendirian bahawa perlu dipelihara suasana harmoni dalam Pakatan Rakyat supaya kekal kuat untuk menghadapi suasana politik mendatang," kata beliau kepada Harakahdaily.

Katanya, pertemuan khas semalam adalah anjuran Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat bagi mendapat pandangan lebih jelas berhubung cadangan Kelantan yang mahu melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II 1993 di negeri itu.

Tiga wakil Kerajaan Negeri Kelantan hadir termasuk Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob bersama timbalannya Datuk Mohd Amar Abdullah serta exco kerajaan negeri, Datuk Dr Mohd Fadhli Hassan.

Selain Mustafa, turut bersama dalam perbicangan itu dua Naib Presiden PKR Sivarasa Rasiah dan Tian Chua, wakil DAP iaitu Timbalan Setiausaha Agung Datuk Ngeh Khoo Ham, Ahli Parlimen Kluang Liew Ching Tong dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

"Kita nak kekal kerjasama baik antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat.

"Masing-masing semalam memberi pandangan secara terbuka dan jujur," kata Mustafa lagi.

Dalam pada itu beliau berkata, keputusan yang dicapai dalam mesyuarat semalam itu akan diangkat kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat yang akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi. -

Tiada ulasan: