HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 April 2014

Kerajaan setuju salur RM500 juta kepada Dana Pendidikan Mara

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju menyalurkan RM500 juta secara berperingkat bagi penubuhan Dana Pendidikan MARA bernilai RM1 bilion.
 
Baki RM500 juta pula akan disediakan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara).
 
Untuk penubuhan dana pendidikan berkenaan, Pelaburan MARA Bhd (anak syarikat Mara) telah diberikan kepercayaan untuk menguruskannya, kata Muhyiddin ketika berucap pada majlis penjenamaan semula identiti korporat Pelaburan MARA Bhd dan pelancaran PMB Tijari Bhd di sini Selasa.
 
Hujung tahun lepas, pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan penubuhan Dana Pendidikan Mara berkenaan dalam bentuk dana sepadan.
 
Ia merupakan satu nisbah satu bagi membiayai keperluan program latihan, pendidikan, keusahawanan, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi untuk mengupayakan modal insan Bumiputera.
 
Pada sidang media, Ketua Pegawai Kumpulan Pelaburan MARA Bhd Nazim Rahman berkata dana ini akan diuruskan sebagai sebuah bentuk dana wakaf yang bermakna dana yang akan berakhir sehingga tujuh tahun akan datang, kekal bernilai RM1 bilion.
 
"Pulangan yang akan diperoleh digunakan dalam perbelanjaan aktiviti-aktiviti untuk pendidikan oleh Mara," katanya.
 
Beliau berkata pengagihan dana secara berperingkat itu akan mengambil masa selama tiga tahun.
 
"Untuk tahun pertama sebanyak RM200 juta akan diagihkan, manakala untuk tahun kedua dan ketiga masing-masing sebanyak RM150 juta.
 
"Bidang yang diberi perhatian adalah di luar fokus Mara sekarang seperti aktiviti inovasi, aktiviti perkomersialan produk penyelidikan dan pembangunan (R&D), latihan untuk pendidik dan sebagainya," katanya.

Tiada ulasan: