HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 April 2014

Khalid: Saya tak cadang jadi MB penggal depan

HARAKAHDAILY 






KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak bercadang untuk menjadi Menteri Besar pada penggal akan datang.

Menulis di Facebook beliau sebentar tadi, beliau bagaimanapun berkata akan berkhidmat sehingga akhir penggal ini.

"Dan di akhirnya nanti, saya hanya mahu dikenang sebagai seorang yang berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Dalam wawancara dengan The Edge sebaik dilantik semula sebagai Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid telah membayangkan hasrat untuk tidak meneruskan khidmat sebagai Menteri Besar bagi penggal ketiga jika ditakdirkan Pakatan Rakyat terus mendapat mandat rakyat Selangor.

"Saya  berpandangan kuat bahawa setiap pemimpin yang dipilih rakyat perlu mengehadkan tempoh memegang jawatan kepada dua penggal sahaja, baik Perdana Menteri mahupun Menteri Besar.
Perkara ini bagi saya jelas, kerana ia boleh memberi peluang kepada orang lain.

"Lagi satu, saya tidak melihat bahawa saya akan terus tetap di situ," katanya kepada The Edge.

Beliau secara peribadi merasakan bahawa Pakatan Rakyat perlu menimbangkan untuk mengehadkan tempoh memegang jawatan kepada dua penggal sahaja, kerana ini akan membuka jalan kepada corak pemerintahan yang lebih segar.

"Parti kita perlu memikirkan dan memakai pandangan bahwa seseorang itu tidak boleh terus memegang jawatan terlalu lama," katanya sambil menambah bahawa ia perlu difahami jawatan yang disandang itu bukanlah "anugerah tetapi tanggungjawab".

Khalid berjaya memimpin Pakatan Rakyat untuk menang majoriti dua pertiga di Selangor pada pilihan raya umum 5 Mei lalu dengan menyapu 44 daripada 56 kerusi negeri.

Tiada ulasan: