HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 April 2014

Pemilihan PKR 2014: Siapa Anwar restu gandingi Wan Azizah?

Post Pic
   
Oleh Abdul Rahman Malik
 
 
[ULASAN] Rasa-rasanya tiada pihak yang akan terkejut dengan pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik diri dari persaingan menentang isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan presiden PKR.
 
Langkah ini memang sudah dijangka kerana tujuan asal beliau mencalonkan diri untuk bertanding jawatan berkenaan sudahpun tercapai. 
 
Anwar telah berjaya memastikan Wan Azizah kekal presiden sekiranya beliau dipenjarakan.
 
Jika Wan Azizah menjadi presiden bererti Anwar masih boleh mencampuri dan mengarahkan halatuju PKR walaupun beliau mungkin berbuat demikian dari belakang tirai besi.
 
Yang dibimbangi Anwar sebelum ini ialah, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali akan mencalonkan dirinya untuk jawatan presiden. Jika bersaing dengan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor itu, kemungkinan Wan Azizah kalah, adalah agak besar. 
 
Namun dengan meletakkan dirinya sebagai seorang pencabar jawatan presiden itu, Anwar telah mematahkan kebarangkalian Azmin menyaingi Wan Azizah demi rasa hormat pada Anwar. 
 
Fasa kedua Anwar mahu atur senarai ahli kabinet PKR
 
Kini Anwar akan memasuki fasa kedua program “mengatur” kabinetnya dalam PKR -- siapa di antara tiga calon jawatan Timbalan Presiden yang mendapat restunya?
 
Gerak ini perlu dilakukan oleh Anwar kerana setelah berjaya meletakkan Wan Azizah sebagai presiden, beliau perlu memastikan timbalan isterinya itu adalah seseorang yang memang boleh bekerjasama dengannya. 
 
Yang jelasnya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, terbukti tidak begitu “mesra parti”. Bagaimana pula beliau akan boleh bekerjasama dengan Wan Azizah untuk terus membangun parti?
 
Sungguhpun Wan Azizah mungkin presiden parti, tetapi dalam urusan kerajaan negeri isteri Anwar itu adalah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang “patut mendengar arahan dan cakap Khalid”.
 
Suka tidak suka Anwar terpaksa mengakui bahawa keadaan Wan Azizah tentu kurang selesa jika digandingkan dengan Khalid sebagai timbalannya. Garis pemisah dalam soal kerahsiaan dan silang kepentingan kerajaan dan parti akan menjadi kabur.
 
Sebelum ini pun Khalid amat sensitif menyatakan bahawa dasar parti adalah tidak sama dengan dasar kerajaan negeri. Ini dipandang serong oleh ramai pemimpin PKR yang menafsirkannya sebagai cermin ego Khalid yang terlalu besar dan menjengkelkan.
 
Ledakan ego Khalid ini berlaku ketika Anwar dalam keadaan “bebas” dan tegap sebagai Ketua Umum PKR walaupun Khalid sendiri tiada jawatan dalam parti. Sudah tentu buruk padahnya kedudukan Wan Azizah jika mendapat Khalid sebagai Timbalannya. 
 
Sudah tentu Anwar akan berusaha mengelak keadaan sedemikian daripada berlaku. Ini belum mengambil kira bahawa pemimpin dan ahli parti yang memang kurang gemar kepada cara politik Khalid akan melayan persepsi yang mentautkan imej parti dan kerajaan negeri sebagai sama sahaja kurang “elok” di mata politik mereka.
 
Lantas, adalah satu risiko yang besar juga jika Wan Azizah digandingkan dengan Khalid dalam memimpin parti. 
 
Antara Azmin Ali dan Saifuddin Nasution, yang mana pilihan Anwar?
 
Pilihan Anwar yang tinggal ialah di antara Azmin atau Saifuddin. Jika Azmin menang, sudah pasti tiada banyak pembaharuan yang akan berlaku kerana Azmin sudahpun menjadi Timbalan kepada Wan Azizah sejak tahun 2010 lagi. 
 
Bagaimanapun Azmin pasti akan mengubah persepsinya sedikit terhadap Saifuddin. Dari cara Saifuddin mengelolakan kempennya secara rapi dan bersungguh-sungguh bersama Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli, tentu tidak sukar untuk Azmin merumuskan bahawa mereka adalah pencabar yang serius. 
 
Jika menang sekalipun, Azmin sudah pasti menjadi Timbalan yang lebih berhati-hati kerana mengetahui presiden berkemungkinan besar akan melangkaui keperluan untuk bermusyuwarah dengannya kerana lebih selesa berunding dengan anaknya sendiri (Nurul Izzah) dan Rafizi seorang pemuda yang cerdik dan cukup taat kepada Anwar. 
 
Jika beliau kekal Timbalan Presiden, sudah tentu sukar untuk Azmin “mempercayai” Saifuddin untuk terus kekal Setiausaha Agung parti. Di sini mungkin bermula keretakan hubungannya dengan presiden.
 
Azmin mungkin mudah berasa tersisih. Rekod hubungannya dengan Anwar terlalu akrab dan banyak kalanya Azmin akan cepat “merajuk” dan menjauhkan diri jika tidak mendapat perhatian Anwar mahupun Presiden. 
 
Menjelang pilihan raya umum lalu, Azmin kerap bersilang pendapat dengan Anwar dalam persiapan, terutama pemilihan calon. Hal ini kerap membuat Anwar kurang senang dengan sikap “manja” Azmin. 
 
Fokus Anwar kini pada Saifuddin, selepas Azmin tercicir dari senarai
 
Maka tinggallah Saifuddin sebagai pilihan terakhir bagi Anwar. Beliau seorang yang taat dan cermat menyusun gerak kerja dan kata-kata. Sebab itu, Anwar sering mengutusnya untuk menyampaikan mesej kepada ahli, pemimpin PKR dan juga pemimpin Pakatan Rakyat lain. 
 
Ketaatan begini sukar dicari. Sebab itu sukar pula bagi kem Azmin untuk mempercayai bahawa Saifuddin membuat keputusannya sendiri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden tanpa dorongan Anwar. 
 
Di samping itu, dalam program menonjolkan pemimpin-pemimpin muda PKR, Saifuddin “memimpin” anak Anwar, Nurul Izzah, dan seorang lagi pemimpin berpotensi besar yang dididik oleh Anwar sendiri, Rafizi Ramli.
 
Ini adalah isyarat jelas bahawa kumpulan Saifuddin ini lebih dekat di hati Anwar. Mana mungkin Anwar mahu kem anaknya dan anak didiknya kecundang atau berketuakan pemimpin lain yang mahu mereka saingi seperti Azmin.
 
Saifuddin sendiri mengaku bahawa beliau dan dua pengapitnya itu menawarkan diri bertanding sebagai satu pasukan untuk “mencantas” sindrom bermusuhan yang ditaja oleh Khalid dan Azmin daripada menjadi barah dalam parti. 
 
Apapun Anwar sudah menzahirkan sebahagian skrip “paluan berundurnya” ke penjara. Kini tinggal beberapa dialog politik yang perlu dilafazkannya untuk beliau memberi “restu” pada kumpulan mana yang akan menjadi pengiring isterinya memimpin empayar PKRnya. 
 
Yang patut bersedia ialah Umno. Ini kerana pada sambutan ulangtahun ke 68 tahunnya pada 11 Mei 2014, PKR akan menampilkan pasukan barunya untuk menghadapi Umno dalam pilihanraya umum ke-14; tidak kira sama ada Anwar di dalam atau luar penjara.

Tiada ulasan: