HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 April 2014

Hudud: Berhenti beri kenyataan, rujuk Majlis Pimpinan – Kit Siang


lks (2)



KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menggesa semua pimpinan Pakatan Rakyat agar berhenti mengeluarkan kenyataan berhubung isu hudud yang kembali hangat diperkatakan, dan merujuk hal itu kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Menurut beliau, pertembungan antara parti-parti Pakatan berkaitan isu hudud hanya menguntungkan Umno BN yang sememangnya ingin melihat perpecahan di dalam Pakatan Rakyat.

“Secara tiba-tiba, Pakatan dilihat berdepan dengan krisis terburuk sejak ia ditubuhkan selepas Pilihanraya Umum ke-12 – sesuatu yang tak pernah dicapai oleh pakar strategi Umno walau pun mereka telah menimbulkan pelbagai provokasi sebelum ini.

“Pemimpin dan parti komponen Pakatan perlu sentiasa sedar perancangan Umno untuk mencetuskan pergeseran dalam Pakatan Rakyat dengan memperbesar-besarkan perbezaan – yang kita telah ‘setuju untuk tidak bersetuju’ dan berpegang teguh dengan rangka dasar bersama Pakatan sebagai agenda bersama.

“Maka, saya menyeru moratorium (penghentian sementara) serta-merta berhubung kenyataan tentang isu ini oleh pimpinan Pakatan dan merujuknya kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat untuk keputusan,” katanya lagi.

Isu hudud kembali diperkatakan selepas kerajaan PAS Kelantan merancang untuk membentangkan rang undang-undang persendirian mengenai pelaksanaannya di negeri itu di Parlimen Jun ini.

Pada 24 April lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan DAP dan PKR tidak berhak menghalang PAS melaksanakan hudud di negeri itu.

Keesokannya, Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke Siew Fook dalam satu kenyataan balas berkata, PAS boleh keluar daripada Pakatan jika berterusan ingin mengabaikan konsensus Pakatan yang telah dicapai.

Mengulas perkara itu, tokoh politik veteran itu menegur Mohd Amar dan Anthony Loke dan berkata, kedua-duanya tidak patut mengeluarkan kenyataan yang hanya mengeruhkan keadaan dan menguntungkan Umno BN.

“Nik Amar dan Anthony perlu lebih menahan diri di ruang awam dan tidak menimbulkan situasi yang membolehkan Umno BN menangguk di air keruh, menimbulkan suatu keadaan yang disebut pepatah Cina sebagai menyebabkan ‘rakan-rakan berduka dan musuh bersorak’.

“Semoga semua pimpinan Pakatan, daripada DAP, PAS, dan PKR terus berpegang pada dasar bersama Pakatan bagi memikul harapan rakyat ke arah perubahan landskap politik yang amat diperlukan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu, demokratik, berdaya saing dan makmur,” katanya lagi. – Roketkini.com

Tiada ulasan: