MALAYSIAKINI
Rakyat Australia yang mencetuskan kebimbangan berlaku rampasan
pesawat milik syarikat Virgin semalam, dilaporkan memberitahu polis
Indonesia bahawa dia tidak mabuk.
Sebaliknya, katanya, dia hanya mencari tandas apabila dia mengetuk pintu kokpit.
"Dia sangka kokpit itu adalah tandas - dia ingat dia mengetuk pintu
tandas," lapor The Age di Melbourne, yang memetik jurucakap polis Bali,
Hery Wiyanto.
Menurut laporan itu, penumpang tersebut, Matthew Christopher Lockley
(yang dilaporkan sebelum ini sebagai Matt Christopher) bertegas bahawa
dia tidak mengambil alkohol.
Dia mendakwa dia hanya mengambil empat biji Panadol, dua Voltaren (ubat
anti-radang dan penahan sakit), dan dua Coca- Cola di lapangan terbang
Brisbane sebelum menaiki Penerbangan VA41 ke Bali, dan tidur hampir
sepanjang penerbangan.
Anak kapal kemudiannya membawa Lockley ke belakang pesawat manakala juruterbang mengeluarkan amaran rampasan. Pegawai Virgin
Australia menjelaskan kemudiannya bahawa ia bukan cubaan rampasan tetapi
penumpang mabuk dan sukar dikawal.
Berikutan itu, lapangan terbang Bali telah ditutup menyebabkan lapan
penerbangan masuk dilencongkan dan lima penerbangan tidak dibenarkan
berlepas. Setelah pesawat itu mendarat, Lockley dibawa pergi oleh
pengawal bersenjata .
Selepas disoal siasat pada malam Jumaat, dia telah dilaporkan dihantar ke hospital .
"Dia masih rasa keliru. Dia tidak sihat, sebab itu dia mengambil ubat tersebut," kata Hery.
Polis dilaporkan masih menunggu keputusan ujian darah dan air kencing
sebelum memutuskan sama ada untuk mendakwanya kerana membahayakan
penerbangan.
Jika sabit kesalahan, dia berdepan dengan hukuman sehingga dua tahun
penjara atau didenda 500 juta rupiah (RM141,500), kata laporan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan