HALAMAN SANTAI
Rabu, 30 April 2014
Dr Mahathir bidas Obama, semua kaum dapat peluang sama di Malaysia
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir tidak bersetuju dengan pandangan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, sebaliknya menegaskan kerajaan Malaysia memberikan peluang sama rata kepada semua rakyat tidak kira agama dan bangsa.
Dr Mahathir berkata, polisi yang diamalkan pemerintah Barisan Nasional adalah adil dan seimbang kepada semua lapisan masyarakat.
"Saya tidak bersetuju dengan Obama," kata Dr Mahathir ketika ditemui di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) hari ini.
Dr Mahathir kemudian turut mempertahankan golongan bukan Melayu di Malaysia mendapat peluang yang sama rata, bukan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
"Walaupun dengan polisi kerajaan dan sebagainya, adakah kamu lihat kaum Cina di Malaysia antara yang termiskin?
"Kebanyakan kaum India adalah peguam, profesional dan doktor, mereka yang tidak pernah ke Malaysia tidak akan tahu tentang perkara ini," katanya.
Dr Mahathir juga membidas Obama dengan mengatakan ketaksamaan kekayaan di negara itu lebih ketara dan jelas jika dibandingkan dengan Malaysia.
"Di Amerika tiada kesaksamaan langsung, 1% daripada populasi memiliki kekayaan dan yang lain miskin," kata Dr Mahathir memetik kenyataan seorang profesor Amerika Syarikat yang juga pemenang Anugerah Nobel dalam Sains Ekonomi (2001), Joseph Eugene Stiglitz.
Dr Mahathir dikenali sebagai pemimpin yang lantang mengkritik AS sepanjang pemerintahannya.
Dr Mahathir juga pernah mencadangkan Malaysia dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berhenti menggunakan dolar AS dan beralih kepada Euro, ia susulan pertalian rapat Amerika Syarikat dengan negara musuh Islam, Israel.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga menyelar Obama yang menyifatkan Malaysia tidak berlaku adil dalam konteks agama kepada semua kaum.
Beliau berkata, peluang yang adil dan saksama diberikan kepada semua agama dan masyarakat berbilang agama sememangnya tidak menghadapi apa-apa kekangan mengamalkan agama di negara ini.
"Kita berikan peluang yang sama kepada bukan Islam dan kerajaan Malaysia berlaku adil kepada semua agama," kata Zahid.
Pengkritik sebelum ini menyifatkan Malaysia mengamalkan polisi diskriminasi terhadap kaum lain, antaranya menerusi Artikel 153 Perlembagaan Malaysia untuk mempertahankan hak kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia atau Bumiputera.
Ia dikatakan melindungi kepentingan kumpulan ini dengan mewujudkan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam.
Semasa lawatan hujung minggu baru-baru ini, Obama berkata, Malaysia perlu memastikan masyarakat bukan Islam di negara ini mendapat peluang yang sama seperti majoriti penduduk beragama Islam jika negara Asia Tenggara itu mahu terus makmur.
“Malaysia tidak akan berjaya jika bukan Islam tidak mendapat peluang yang sama,” katanya dalam majlis pertemuan dua hala untuk belia Asean di Dewan Tunku Canselor di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Obama berkata, masyarakat bukan Islam di Malaysia pada masa ini berdepan permusuhan, dan ada yang rasa tertindas.
“Sepatutnya tidak ada alasan untuk diskriminasi, dan anda perlu memastikan anda menentang perkara ini dalam kehidupan harian," katanya.
Kali terakhir Malaysia menerima lawatan Presiden AS adalah 48 tahun lalu pada 1966, iaitu Presiden Lyndon Johnson.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan