Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan pengharaman sebuah buku yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2012.
Novel Perempuan Nan Bercinta karangan novelis Faisal Tehrani yang sebelum ini diharamkan Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (Jakim), didakwa mempunyai unsur syiah.
Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Faisal berkata beliau berterima kasih kepada kementerian dan 'mendambakan' status terbarunya itu kerana akan dikenang sebagai seniman dan pemikir tertindas.
"Terima kasih mengangkat saya dari makam caci maki ke makam haram. Ini status dambaan, kerana karya saya ini senasib dengan karya George Orwell, John Milton, Voltaire, Pra dan Solzhennitsyn," katanya.
Faisal turut menyindir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa pemimpin itu akan diingati dan dikenang dalam sejarah sebagai "yang mengharamkan buku".
'Pemikir tertindas'
"Saya akan dikenang sebagai seniman dan pemikir tertindas," kata beliau yang nama sebenarnya Mohd Faizal Musa.
Penolong Pengarah Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan (Cawangan Akidah) Jakim Mohd Aizam Masod mengakui karya pengarang terkenal itu sedang dipertimbangkan untuk itu sebelum diharamkan jabatan itu pada November 2013.
Novel itu merupakan novel kedua Faisal yang diharamkan selepas Sebongkah Batu di Kuala Berang pada 2011, yang dipercayai novel tempatan pertama diharamkan selepas merdeka di negara ini.
Perempuan Nan Bercinta mengisahkan pengalaman Dr Tengku Idora, seorang feminis yang berkenalan dengan Prof Dr Ali Taqi menerusi Bastian, kekasihnya.
Perkenalan itu membantu perubahan tanggapan Tengku Idora daripada seorang feminis melulu kepada feminis yang bersandarkan ketokohan anak perempuan Rasulullah Saidatina Fatimah az-Zahra.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan